
Oleh: Nana Mohamad dan Eveline.B
KANOWIT – Karnival Kebudayaan Kanowit (KCF) Siri 1 Tahun 2026 terus memainkan peranan sebagai platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di daerah ini menerusi pengisian kebudayaan yang mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian komuniti setempat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, program seumpama itu bukan sahaja mampu memelihara warisan budaya masyarakat tempatan, malah berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan yang boleh menarik kehadiran pengunjung dari luar.
“Kita berharap program seperti ini dapat diperluaskan melalui hebahan media supaya lebih ramai pelancong datang ke Kanowit untuk melihat sendiri keunikan budaya masyarakat di sini.
“Program seperti ini juga amat baik kerana berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik dalam suasana penuh harmoni serta saling menghormati,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan KCF Siri 1 Tahun 2026 di Pentas Utama Tebingan Kanowit pada Jumaat.
Menurut beliau, acara tradisi Niti Daun yang diadakan sempena sambutan Hari Gawai mempunyai nilai budaya yang signifikan kepada masyarakat tempatan dan wajar diteruskan sebagai salah satu acara tahunan utama di Kanowit.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata pelbagai projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) bagi kawasan Kanowit dan Selangau telah mendapat kelulusan dan kini menunggu pelaksanaan di tapak oleh agensi berkaitan.
“Semua projek infrastruktur telah diluluskan namun pelaksanaannya di peringkat tapak masih belum bermula kerana melibatkan agensi pelaksana seperti JKR, manakala bagi sektor pertanian, semua perancangan juga telah tersedia dan kini menunggu pelaksanaan di bawah kementerian berkaitan.” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi penduduk terutama dalam memperkukuh sektor pertanian dan meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan tengah Rajang.






