Tun M gagal satukan Melayu kerana percaturan politik sendiri

PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen berpandangan kegagalan Tun Dr Mahathir Mohamad menyatukan orang Melayu berpunca daripada percaturan politik yang dibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, Dr Mahathir sememangnya mempunyai agenda besar untuk menyatukan orang Melayu, namun langkah politik yang diambil akhirnya menyebabkan perpecahan menjadi lebih besar.

“Tun memang dari dulu bercakap soal penyatuan Melayu. Malah ketika beliau menjadi Perdana Menteri kali pertama, beliau pernah memberi amaran bahawa politik wang akhirnya akan merosakkan UMNO dan menyebabkan parti itu hilang kuasa,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook beliau.

Raggie berkata, Tun Mahathir mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana percaya parti itu ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sudah tersasar daripada perjuangan asal selain dikaitkan dengan isu kleptokrasi dan skandal 1MDB.

Beliau berkata, Tun Mahathir kemudian menubuhkan Bersatu bagi menumbangkan UMNO, sekali gus menyebabkan sokongan orang Melayu berpecah.

“Tun tidak memilih untuk kekal dalam UMNO dan menukar kepimpinan dari dalam. Sebaliknya beliau keluar parti dan menubuhkan parti baharu yang akhirnya memecahkan sokongan orang Melayu,” katanya.

Raggie berkata, Dr Mahathir turut bekerjasama dengan DAP demi menjayakan usaha menumbangkan UMNO walaupun sebelum itu dikenali sebagai pengkritik tegar parti berkenaan.

Beliau menjelaskan, kerjasama antara Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) akhirnya berjaya menumbangkan UMNO pada PRU14 sebelum Dr Mahathir kembali dilantik sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, selepas kejayaan itu dicapai, Dr Mahathir dilihat cuba menggerakkan semula agenda penyatuan Melayu menerusi program seperti Kongres Maruah Melayu yang menghimpunkan pelbagai parti dan pertubuhan Melayu.

“Saya nampak ketika itu Tun sedang cuba membawa semula agenda penyatuan Melayu. Semua pihak dijemput hadir tanpa mengira ideologi politik,” katanya.

Namun, beliau berpandangan percaturan Dr Mahathir mula gagal selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Raggie berkata, tindakan Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar daripada PH menyebabkan perancangan asal Dr Mahathir tidak menjadi kenyataan.

“Di situlah percaturan Tun gagal. Tun bukan lagi seperti dahulu yang mampu melihat beberapa langkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas itu turut menyebabkan perpecahan Melayu menjadi lebih besar.

Ujarnya, strategi Dr Mahathir untuk menjadikan Pejuang sebagai ‘kingmaker’ pada PRU15 juga gagal apabila parti itu tidak mendapat sokongan rakyat, termasuk kekalahan Dr Mahathir sendiri di kerusi Parlimen Langkawi.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) kerana didakwa tidak benar-benar memperjuangkan agenda penyatuan Melayu.

Raggie berkata, peluang penyatuan Melayu sebenarnya terbuka selepas PRU15 apabila gabungan parti-parti Melayu mempunyai jumlah kerusi besar untuk membentuk kerajaan bersama.

“Kalau benar-benar mahu penyatuan Melayu, semua pihak sepatutnya menerima cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dan duduk semeja,” katanya.

Beliau berkata, penolakan PN terhadap pembentukan kerajaan bersama hanya menunjukkan agenda penyatuan Melayu yang dibawa sebelum ini lebih bersifat politik berbanding perjuangan sebenar.

Pada masa sama, Raggie menyifatkan Dr Mahathir kini berada dalam keadaan serba terdesak sehingga terpaksa bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini pernah dikritiknya sendiri.

“Tun sekarang bukan lagi Tun yang dahulu. Tun sudah hilang percaturan asalnya kerana keadaan politik semasa memaksa beliau berdamping dengan pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian terbaik bagi menyatukan orang Melayu ketika ini ialah semua parti Melayu-Islam berada dalam satu blok kerajaan dan mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan bersama.

Menurutnya, jika benar agenda utama ialah penyatuan Melayu, maka soal siapa yang memegang kuasa perlu diketepikan terlebih dahulu.

“Kalau matlamatnya penyatuan Melayu, semua pihak perlu ketepikan soal kuasa dan kedudukan. Yang penting ialah mewujudkan satu blok besar Melayu-Islam yang stabil,” katanya.

Related Posts

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan pelan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan bulan ini susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PM imbau kenangan bersama SMK Banggi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali kenangan lawatan beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi ketika mengadakan kunjungan ke pulau berkenaan baru-baru ini. Menurut beliau, lawatan kali ini cukup…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi