
TAWAU – Kerjasama strategik antara media Sabah, Malaysia dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berpotensi besar menyokong pembangunan kawasan sempadan menerusi platform Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (Sosek Malindo).
ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, melalui jaringan media yang lebih kukuh, pelbagai program atau aktiviti komuniti bawah Sosek Malindo dapat diketengahkan dengan lebih meluas kepada masyarakat kedua-dua negara.

“Kita tahu bahawa Sosek Malindo memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan MalaysiaIndonesia termasuk di Sabah dan Kalimantan.
“Kerjasama ini juga mampu meningkatkan pertukaran budaya dan pelancongan menerusi penerbitan dokumentari, program televisyen dan kandungan digital yang mempromosikan keunikan budaya, makanan, warisan dan destinasi pelancongan kedua-dua negara,” ujarnya semasa berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik media antara Indonesia-Malaysia di Konsulat Republik Indonesia Tawau, pada Sabtu.
Persefahaman itu termeterai antara tiga media baharu Sabah iaitu Misi Faza Sdn Bhd (Sabahnewstoday.net), Tuntas Media Sdn Bhd (deasoka.com) dan Sri Melati Media Sdn Bhd (dakwatrakyat.com) bersama PT. Wira Nuswantara Actadiurna (satukaltara.com).

Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata, selaras slogan ‘Satu Borneo Satu Pulau Satu Informasi’, kerjasama ini akan membuka ruang besar kepada pembangunan industri kreatif dan penyiaran Nusantara.
“Kita mahu melihat lebih banyak kerjasama terutamanya kandungan digital yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Gabungan bakat kreatif Malaysia dan Indonesia mampu menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang bukan sahaja mempunyai nilai komersial, malah membawa identiti budaya Nusantara ke peringkat dunia.
“Kerjasama ini juga membuka peluang ekonomi yang luas kepada penggiat industri kreatif, syarikat media, platform digital serta sektor pengiklanan,” katanya.

Sementara itu, Konsul Republik Indonesia (RI) Tawau, Dino Nurwahyudin menzahirkan harapan agar kerjasama media akan lebih tertumpu kepada penyampaian berita di kawasan masing-masing secara lebih menyeluruh, khususnya yang dapat memperkukuh hubungan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia.
“Kerjasama ini juga bertujuan untuk mengelakkan berlakunya provokasi serta penyebaran berita yang tidak tepat.
“Ini kerana sebelum ini, akses wartawan Malaysia terhadap sumber rasmi atau tokoh penting di Indonesia (sumber rasmi) dan sebaliknya, mungkin agak terhad.
“Dengan adanya kerjasama ini, kedua-dua pihak akan dapat mengenal pasti dan merujuk kepada individu atau tokoh yang tepat untuk memberikan kenyataan berkaitan sesuatu isu, sekali gus mengelakkan penggunaan sumber tidak sahih,” jelasnya.







