
KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, menggesa wakil rakyat yang diberi mandat oleh pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka dengan tekun dan tidak hanya muncul menjelang musim pilihan raya saja.
Susulan itu, baginda bertitah, semua Ahli Dewan Undangan Negeri di Pahang perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan berintegriti.
“Bekerjalah sepanjang tempoh jawatan dan jangan tunggu tahun terakhir sebelum pilihan raya, baru muncul dan mula bekerja.
“Wakil rakyat perlu kerap melawat jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan isu rakyat diselesaikan dengan cekap dan berkesan.
“Jangan biarkan isu seperti saliran sekolah, anjing liar, benteng pecah atau pokok tumbang sampai kepada saya. Mereka perlu selesaikan segera.
“Kalau perlu, turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua wakil yang dipilih oleh rakyat.
“Bekerja bersungguh-sungguh, jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, nak buat itu dan ini,” titah baginda ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Sementara itu, baginda berkata, semua 133 projek baharu dan 434 projek sambungan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Fasa Satu dengan peruntukan RM3.386 bilion perlu dipantau dengan teliti.
“Tiada kebocoran, kelewatan atau pembaziran dalam pelaksanaan projek. Setiap sen peruntukan mesti digunakan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.
“Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai daerah dan ketua jabatan teknikal tidak boleh hanya menunggu dan memerhati. Jika prestasi kontraktor memasuki zon kuning (menurun), ambil tindakan awal dan jangan tunggu sehingga projek dikategorikan ‘sakit’ baru mahu menyelamatkannya,” titah baginda.
Baginda bertitah, pihak berkuasa perlu menamatkan kontrak dan menyenaraihitamkan kontraktor bermasalah pada peringkat awal, bukannya memberi peluang berulang kali.




