SEREMBAN – Tiada mana-mana parti politik boleh mengambil alih jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan mudah selagi krisis adat dan perlembagaan di negeri ini tidak diselesaikan.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan terus kekal memimpin kerajaan negeri seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir
“Dalam Negeri Sembilan suka tak suka, sekarang ini masih ada konflik. Masih ada masalah. Masalah dalam institusi diraja. Ada lagi isu di kalangan Yang Dipertuan Besar dengan Datuk-Datuk Undang. Itu kita tak boleh campur. Kita hormat institusi itu, mesti diselesaikan dalam institusi itu.
“Tetapi selagi isu dan masalah itu tak selesai apa implikasi dia? Tak boleh ada apa-apa keputusan besar. Apa keputusan besar? Pertamanya, tak boleh lantik Menteri Besar baru sebab tak boleh ada majlis angkat sumpah.
“Kedua, tak boleh lantik mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru. Malah pembubaran Dewan UndanganNegeri (DUN) juga tak dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan PH berlangsung di pekarangan Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, pada Rabu.
Turut sama hadir Aminuddin, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, berikutan itu kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri akan kekal dan meneruskan fungsinya seperti biasa.
“Oleh kerana itu pentadbiran kita ini ‘status quo’. Iaitu selagi isu ini belum selesai, tak timbul mana-mana pihak boleh mengambil alih sebagai Menteri Besar.
“Tok Min (Aminuddin) yang akan kekal menjadi Menteri Besar. Keduanya, tak boleh ada apa-apa lantikan baru. Sebab isu (adat dan perlembagaan) belum selesai. Majlis angkat sumpah pun tak boleh diadakan. Tak timbul apa-apa pelantikan baru. Jadi apa yang kekal dalam MMK (Exco negeri), teruskan kerja,” katanya.
Loke berkata, jika pun DUN perlu dibubarkan berikutan isu sokongan yang diterima Menteri Besar, jentera parti harus bersiap sedia.
“Sudah tentu pembubaran dewan itu kena lihat juga. Tetapi apa pun, kita kena bersedia. Kita kena bersedia pada bila-bila masa kalau DUN dibubarkan, kita masuk gelanggang, kita lawan. Kita nak dapat semula mandat daripada rakyat,” katanya.
Beliau mencabar mana-mana pihak yang menjatuhkan Menteri Besar, supaya mengemukan usul undi percaya atau tidak percaya kepada Menteri Besar.
“Hanya ada dua cara sesebuah kerajaan itu boleh jatuh, Menteri Besar itu digulingkan. Pertamanya, dia diturunkan melalui usul undi tak percaya dalam DUN, itu boleh jatuh.
“Kerajaan boleh jatuh kalau undi kita kalah dalam dewan. Tetapi dalam dewan kita tak kalah. Dewan ditangguhkan juga atas permintaan rakan-rakan.
“Keduanya, kalau ada mana-mana pihak dia ada cukup jumlah, dia ada akuan bersumpah (SD), dia ada sokongan cukup pergi jumpa dengan Tuanku. Istana buka pintu.
“Kalau Tuanku terima, angkat sumpah Menteri Besar baru, Menteri Besar (lama) kena turunlah. Itu mengambil pengalaman di Perak. Jadi kita tahu itu tak berlaku (di Negeri Sembilan). Jadi Menteri Besar tak boleh turun dan terus kekal,” katanya.






