
KUCHING – Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) mengambil alih sepenuhnya operasi ‘Old Kuching Smart Heritage’ (OKSHE) dalam usaha memacu sektor pelancongan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, operasi OKSHE yang sebelum ini diletakkan di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), kini dikendalikan oleh MTCP bagi menyuntik nafas baharu berteraskan inovasi digital.
Menurut beliau, peralihan strategik itu bakal membuka lebih banyak ruang kepada pembangunan program berimpak tinggi yang mampu memberikan pengalaman lebih realistik dan komprehensif kepada pengunjung.
“Langkah ini merangkumi penyediaan kandungan digital yang lebih interaktif serta menggalakkan penglibatan aktif daripada komuniti setempat.
“Dengan penempatan OKSHE di bawah kementerian, kerjasama sedia ada dengan DBKU dapat diperkukuhkan lagi memandangkan hubungan kerja yang sememangnya erat dan pemahaman mereka terhadap peranan OKSHE,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan OKSHE kepada MTCP di Bangunan Baitul Makmur II pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abdul Karim menzahirkan keyakinan inisiatif pelancongan warisan pintar itu mampu bergerak dengan lebih progresif pada masa akan datang.

“Saya juga telah memaklumkan kepada Datu Dr Sabariah Putit selaku peneraju OKSHE untuk meneliti amalan terbaik dari luar negara. Ia penting bagi memastikan usaha memelihara, memulihara dan mempromosikan bandar warisan ini dapat dilaksanakan secara mampan,” jelasnya.
Menyentuh perancangan jangka panjang, Abdul Karim memberitahu, kementeriannya merancang untuk mewartakan zon warisan di sepanjang laluan OKSHE bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan bersejarah.
Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, beliau menegaskan keperluan Kerajaan Sarawak untuk menggubal dan meluluskan undang-undang khas.
“Apabila kawasan ini diwartakan sebagai zon warisan, kita boleh memberi tumpuan yang lebih jelas terhadap keperluan pembangunan, termasuk pemuliharaan bangunan-bangunan lama.
“Di sinilah peranan MTCP menjadi sangat penting kerana proses penyelarasan bersama Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak dan DBKU akan menjadi lebih terancang serta berkesan,” ujarnya.
Untuk rekod, OKSHE merupakan inisiatif di bawah Rangka Kerja Ekonomi Digital Sarawak 2018–2022 yang memanfaatkan teknologi secara optimum untuk memelihara dan mempromosi warisan sejarah serta budaya di sekitar kawasan bandar lama Kuching.
Turut hadir Timbalan Menteri MTCP, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Datuk Bandar DBKU, Datuk Hilmy Othman; Penasihat OKSHE, Datu Dr Sabariah Putit; serta Setiausaha Tetap MTCP, Morshidi Fredrick.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





