
PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan inisiatif Jualan Rahmah MADANI dengan penganjuran secara mingguan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan memastikan pengguna mempunyai kepastian mengenai lokasi dan masa untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah secara berterusan.
“Dengan cara ini, pengguna akan lebih pasti di mana dan bila mereka boleh mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah,”
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian pada sidang media Taklimat Krisis Bekalan Global di sini, hari ini.
Beliau berkata, program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu telah menunjukkan kesan positif apabila sebahagian barangan dijual pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, manakala sebahagian lagi mencatat penurunan antara lima hingga 15 peratus.
Menurutnya, sebanyak lebih 25,000 program Jualan Rahmah telah dilaksanakan tahun lalu di seluruh negara merangkumi semua kawasan DUN.
“Bagi tahun 2026, sasaran ini kita tingkatkan kepada 30,000 program. Ini bermakna setiap kawasan akan terlibat dan ia akan dilaksanakan setiap minggu,” katanya.
Anwar berkata, pelaksanaan program itu akan diperluaskan bukan sahaja di kawasan bandar, malah turut melibatkan kawasan luar bandar dan kampung terpilih.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penyertaan peniaga kecil akan terus diberi perhatian supaya tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Kita tidak mahu program ini hanya dikuasai syarikat besar semata-mata. Kita mahu peniaga kecil juga berpeluang menyertai dan mendapat manfaat,”
Katanya, walaupun inisiatif itu tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya tekanan kos sara hidup, ia sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beban rakyat.
“Tidak semua masalah boleh diselesaikan serta-merta, tetapi saya percaya ini dapat mengurangkan sebahagian tekanan yang sedang dihadapi,” katanya.
Jelasnya, kerajaan akan terus meneliti langkah tambahan melalui mesyuarat Jemaah Menteri dan mesyuarat ekonomi dari semasa ke semasa.
Foto: Bernama





