PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) supaya mempercepat pelaksanaan operasi pembenihan awan di negeri yang berada pada tahap kritikal, terutama Kedah dan Perlis.
Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan amat mendesak dalam menghadapi situasi cuaca semasa, selain mencadangkan penggunaan teknologi dron bagi mengatasi kekangan logistik supaya operasi dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Saya arahkan METMalaysia menyegerakan pelaksanaannya, termasuk meneroka penggunaan teknologi dron serta kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menampung kekurangan pesawat bersesuaian, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi meneliti perancangan dasar serta keutamaan kementerian itu sepanjang tahun ini.
Selain isu cuaca, pertemuan berkenaan turut membincangkan kebajikan tiga gajah milik Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat, yang kini berada di Jepun.
Beliau berkata, kebajikan haiwan berkenaan perlu diberi keutamaan oleh NRES dan Zoo Taiping, selain menegaskan kepentingan ketelusan maklumat kepada orang awam.
“Sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik Dara, Amoi dan Kelat. Maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan mereka di sana,” katanya.
Penempatan tiga gajah berkenaan di Jepun sebelum ini mencetuskan perdebatan apabila timbul dakwaan tahap kebajikan haiwan itu tidak memuaskan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat negara ini.
Isu berkenaan dibangkitkan seorang rakyat Malaysia yang berkongsi pengalaman selepas melawat Zoo Tennoji di Jepun dan melihat sendiri keadaan tiga gajah terbabit yang didakwa ditempatkan dalam persekitaran panas serta kering, selain kekurangan elemen semula jadi seperti tumbuhan hijau mencukupi.
Sementara itu, Anwar turut menekankan kepentingan aspek pengurusan dan tadbir urus berkesan dalam kementerian berkenaan.
“Mengakhiri pertemuan, saya tegaskan kepentingan tatakelola berkualiti, integriti yang utuh dan sifar toleransi terhadap ketirisan. Inilah asas kepada ikhtiar kita dalam membina Malaysia yang inklusif, makmur dan mampan,” katanya.



