
FIFA mengesahkan akan mengkaji semula strategi penjualan tiket bagi Piala Dunia 2030 susulan kemarahan penyokong terhadap kenaikan mendadak harga tiket untuk edisi 2026 di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.
Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom berkata, harga tiket tinggi bagi kejohanan tahun ini mencerminkan ‘realiti pasaran di Amerika Utara’.
“Saya sentiasa memahami pandangan penyokong, tetapi terdapat pelbagai kategori harga tiket – ada yang murah dan ada yang mahal,” katanya selepas Kongres FIFA di Vancouver, Kanada.
“Sudah tentu kami mendengar komen yang diberikan dan seperti setiap Piala Dunia, kami akan menilai semula pendekatan untuk kejohanan seterusnya.”
FIFA menerima kritikan hebat berhubung harga tiket melambung tinggi, dengan kumpulan penyokong Football Supporters Europe (FSE) menyifatkan struktur harga itu sebagai ‘menekan’ dan ‘pengkhianatan besar’ terhadap peminat bola sepak.
FSE bulan lalu turut memfailkan tindakan undang-undang terhadap FIFA di Suruhanjaya Eropah kerana mendakwa harga tiket kejohanan terlalu melampau.
Presiden FIFA, Gianni Infantino bagaimanapun menegaskan harga tiket tinggi berpunca daripada permintaan luar biasa.
“Di AS khususnya, terdapat sistem harga dinamik yang menyebabkan harga naik atau turun bergantung kepada perlawanan,” katanya sebelum ini.
Platform jualan semula tiket FIFA minggu ini dilaporkan menawarkan empat tiket final Piala Dunia di Stadium MetLife pada harga mencecah AS$2 juta (RM7.94 juta) setiap satu.
Platform jualan semula lain turut memaparkan harga tiket final bernilai puluhan ribu dolar.
Ditanya sama ada isu harga tiket akan menjejaskan legasi Piala Dunia 2026, Grafstrom berkata hasil pendapatan kejohanan yang dianggarkan menjana sehingga AS$13 bilion (RM51.61 bilion) akan disalurkan semula kepada pembangunan bola sepak.







