
TENOM – Mahkamah hari ini memerintahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, membela diri terhadap kesemua 11 pertuduhan selepas mendapati wujudnya kes prima facie terhadapnya.
Peguam bela, Datuk Ram Singh berkata, keputusan tersebut bukan bermaksud pihak pembelaan tewas, sebaliknya membuka ruang untuk pihaknya mengemukakan keterangan serta menjelaskan semua pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.
“Mahkamah hanya mahu mendengar penjelasan daripada pihak kami.
”Ini peluang untuk kami membentangkan keseluruhan cerita dan fakta sebenar,” katanya kepada media selepas prosiding di Mahkamah Majistret Tenom pada Khamis.
Menurut Ram, pihak pembelaan dijangka akan memanggil antara tujuh hingga 10 saksi, selain meneliti saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan, termasuk individu terdekat yang berkaitan dengan kes tersebut.
”Pihak kami juga akan menemu bual semua saksi yang terlibat bagi memastikan pembelaan yang komprehensif dapat dikemukakan sepanjang perbicaraan.
“Kes ini sudah berlarutan hampir lima tahun. Kami berharap ia dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Tambahnya, pihak pembelaan menghormati keputusan mahkamah dan menyifatkan dapatan kes prima facie sebagai satu proses biasa dalam perjalanan sesuatu kes jenayah.
Sementara itu, Ram berkata, Ebit turut menerima keputusan tersebut dengan tenang dan bersedia memberikan kerjasama penuh sepanjang prosiding pembelaan.
“Beliau mempunyai kisahnya sendiri dan kami yakin kebenaran akan dapat dibuktikan apabila semua fakta dibentangkan di mahkamah,” katanya.
Perbicaraan seterusnya dijadualkan berlangsung pada Oktober, November dan Disember depan di mahkamah yang sama.
Sejak kes bermula pada September 2022, seramai 18 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi kes
Ebit, 41, didakwa melakukan gangguan seksual termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.





