Aktiviti domestik pemacu utama ekonomi Malaysia meskipun berdepan krisis global

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan dengan aktiviti domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan biarpun berdepan persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku pertama 2026, berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut beliau, sektor Perdagangan Borong dan Runcit terus berkembang dengan nilai jualan mencecah RM156.3 bilion pada Februari 2026, manakala sektor Pembuatan menyumbang RM159.2 bilion dipacu oleh subsektor Elektrik dan Elektronik (E&E).

“Momentum ekonomi keseluruhan dilihat sederhana namun kekal positif. Pasaran buruh negara juga stabil dengan kadar pengangguran kekal pada paras 2.9 peratus, manakala tenaga buruh meningkat kepada 17.30 juta orang.

“Prestasi perdagangan luar Malaysia turut berkembang 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, sekali gus menyaksikan lebihan perdagangan meningkat kepada RM16.7 bilion,” katanya menerusi kenyataan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR). 

Dari segi tekanan harga, Mohd Uzir berkata, inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.4 peratus pada Februari sebelum meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, mencerminkan kenaikan harga yang lebih terkawal merentasi kebanyakan kategori pengguna.

Beliau turut menekankan impak kenderaan elektrik (EV) terhadap industri automotif tempatan yang menyaksikan perubahan pilihan pengguna, sekali gus memberi peluang kepada peningkatan penyertaan pembuatan tempatan pada masa hadapan.

“Walaupun pendaftaran EV meningkat pesat, ia bertepatan dengan pengeluaran kenderaan domestik yang lebih rendah dan prestasi jualan kilang yang lebih lemah pada tahun lalu.

“Ini merupakan ruang bagi industri untuk menyesuaikan strategi pengeluaran,” katanya.

Mengenai prospek masa hadapan, Mohd Uzir berkata, Indeks Pelopor (IP) Malaysia yang meningkat 0.5 peratus kepada 113.1 mata menunjukkan jangkaan ekonomi jangka pendek yang stabil.

“Bagaimanapun, ekonomi Malaysia masih terdedah kepada ketidaktentuan luaran termasuk ketegangan geopolitik, prospek pertumbuhan global yang perlahan serta turun naik pasaran komoditi.

“Secara keseluruhan, pertumbuhan Malaysia dijangka kekal sederhana, disokong oleh asas domestik yang kukuh meskipun perlu berwaspada terhadap perkembangan ekonomi dunia,” katanya.

Related Posts

Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

SEREMBAN – Kemelut membabitkan institusi adat di Negeri Sembilan semakin berlarutan apabila Datuk Mubarak Dohak kini diarahkan mengosongkan kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong serta-merta, selepas lebih 30 tahun…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Johor tarik pelaburan teknologi, projek JHB1 catat pencapaian baharu

ISKANDAR PUTERI – Negeri Johor terus mengorak langkah sebagai hab digital utama Asia Tenggara apabila projek pusat data JHB1 milik Digital Halo mencapai satu lagi pencapaian penting menerusi majlis “topping…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

11 penempatan setinggan berisiko kebakaran dikenal pasti di Kapayan

11 penempatan setinggan berisiko kebakaran dikenal pasti di Kapayan

Aktiviti domestik pemacu utama ekonomi Malaysia meskipun berdepan krisis global

Aktiviti domestik pemacu utama ekonomi Malaysia meskipun berdepan krisis global

Atlet muay thai Sabah, Emmabell Cassandra terima pengiktirafan atas kejayaan antarabangsa

Atlet muay thai Sabah, Emmabell Cassandra terima pengiktirafan atas kejayaan antarabangsa

10 aktivis Malaysia dalam misi GSF 2.0 ditahan tentera Zionis di perairan Greece

10 aktivis Malaysia dalam misi GSF 2.0 ditahan tentera Zionis di perairan Greece