
TONGOD – Dua blok kuarters guru serta sebuah kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Imbak di sini musnah dalam kebakaran pada Rabu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.24 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 167 kilometer (km).
Komander Operasi, PB Saripuddin Ali Hassan berkata, kebakaran melibatkan dua blok bangunan kuarters guru yang mempunyai empat pintu dengan keluasan 40×40 kaki setiap satu jenis tidak kekal.
“Semua kuarters tersebut musnah 100 peratus dalam kebakaran berkenaan.
“Turut terbakar sebuah kantin sekolah berkeluasan 20×30 kaki serta sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang juga musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, pada awal pagi Khamis.

Menurut Saripuddin, kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan pam air persendirian dengan sumber air daripada tangki awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya lain.
“Operasi yang melibatkan seramai lapan anggota itu berjaya dikawal pada puku 11.05 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.18 malam.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan,” kongsinya.







