KUANTAN – Seramai 1,094 individu yang terbabit kes dadah di negeri ini ditahan dalam Op Hawk menerusi empat siri dalam tempoh Januari lalu hingga semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mereka yang ditahan berumur antara 15 hingga 77 tahun berdasarkan aduan terutama di kawasan FELDA.
Sepanjang empat siri operasi, sebanyak 541 serbuan dan 1,127 pemeriksaan dilakukan membabitkan premis kediaman dan kenderaan.
“Daripada 1,094 individu berkenaan, seramai 167 individu yang ditahan melakukan kesalahan pengedaran, 308 individu memiliki dadah manakala 619 individu positif dadah.
“Selain itu, kita mengambil tindakan pencegahan terhadap 20 individu mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, menahan semula 166 individu dikehendaki serta mengambil tindakan terhadap 295 penagih tegar mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya, lapor Berita Harian.
Yahaya berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Hari Polis Ke-219 di Dewan Teknologi Maklumat, Alor Akar, di sini hari ini.
Dalam Ops Hawk itu, beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu, heroin, ganja, pil yaba, daun dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM158,054.





