
KOTA KINABALU – Tujuh klinik kesihatan di sekitar bandar raya ini menerima 14 set kemudahan tempat duduk tambahan daripada penyedia perkhidmatan e-hailing, Maxim bagi meningkatkan tahap keselesaan pesakit dan pengunjung yang mendapatkan rawatan harian.
Pengurus Pembangunan syarikat berkenaan, Nazrin Muiz berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat, dalam menyokong prasarana penjagaan kesihatan di peringkat komuniti.
“Pihak kami komited menyokong institusi tempatan dalam menyediakan penyelesaian praktikal yang memberi kesan langsung kepada kebajikan awam dan kami percaya sumbangan kecil ini mampu memberi perubahan bermakna dalam kehidupan seharian masyarakat.
“Penyediaan tempat duduk yang mencukupi meningkatkan pengalaman keseluruhan pengunjung klinik, menjadikannya lebih mudah dan selesa untuk mereka semasa dan selepas menerima rawatan,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Luyang, Suhaimi Mohammad berkata, sumbangan berkenaan sangat diperlukan memandangkan fasiliti kesihatan tersebut mengendalikan lebih 900 pesakit setiap hari.
“Inisiatif pihak swasta ini merupakan langkah proaktif dalam membantu pihak klinik menguruskan kesesakan di ruang menunggu, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pesakit.
“Sumbang ini dapat membantu mereka yang hadir ke klinik-klinik kesihatan kami yang terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya wanita hamil, kanak-kanak, warga emas, pesakit sakit dan Orang Kurang Upaya (OKU yang terpaksa berdiri sementara menunggu kenderaan kini dapat menunggu dengan lebih selesa di ruang yang disediakan.
“Usaha kerjasama antara sektor swasta dan fasiliti kesihatan kerajaan ini dapat mewujudkan persekitaran rawatan yang lebih inklusif dan mesra pelanggan bagi penduduk setempat di Kota Kinabalu,” kongsinya selepas majlis penyerahan.




