
PENDANG – Sebanyak 96 buah rumah dari 24 kampung serta beberapa sekolah di tiga daerah di sini dilaporkan rosak dalam kejadian ribut pada petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, Pendang merupakan daerah paling teruk terjejas iaitu melibatkan 89 rumah.
“Setakat pukul 12 tengah hari tadi, 89 rumah dari 21 kampung di Pendang dilaporkan rosak.
“Di daerah Bandar Baharu pula melibatkan empat rumah dari sebuah kampung, manakala Kubang Pasu sebanyak tiga rumah dari dua kampung terjejas, ” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang antara bangunan yang terjejas teruk akibat dibadai ribut petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, banyak rumah dan premis di beberapa daerah di negeri ini dilaporkan rosak.
Di Pendang, antara kawasan terlibat ialah Kampung Gajah Mati, Kampung Lampam, Kampung Bukit Sagor, Sungai Jagong, Seberang Pendang, RTP Paya Mak Insun dan Lahar Batu.



