Lebih banyak projek rumah mampu milik dirancang kerajaan Pahang

ROMPIN – Kerajaan Pahang akan terus mempergiat usaha membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, pelaksanaan pelbagai inisiatif perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Ini adalah antara usaha kerajaan negeri kerana kita tahu ramai rakyat Pahang yang ingin memiliki rumah.

“Salah satunya ialah PR1MA Pahang, selain daripada Rumah Makmur, Rumah Ru’Rasa, Rumah Rakyat Pahang dan juga sedikit daripada kerajaan Persekutuan pun ada juga. Itu pun masih belum mencukupi.

“Jadi kita akan teruskan mempergiatkan usaha untuk membuat rumah, membina rumah untuk diberikan kepada rakyat di negeri Pahang” katanya, lapor Pahang Media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi serta Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Muadzam Shah di sini hari ini.

Hadir pada majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Nazri Abu Bakar; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir Razali Kassim.

Turut hadir Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Datuk Ahmad Islanizam A Halim.

Dalam pada itu, seramai 102 penerima menerima kunci rumah PR1MA Pinggiran Pelangi yang dibina di atas tanah seluas 60 ekar dengan harga RM150,000 seunit.

Wan Rosdy berkata, harga itu disifatkan benar-benar mampu milik, malah penjawat awam turut menikmati diskaun sebanyak 10 peratus.

“Dan rumah ini saya ucapkan terima kasih juga kepada LPHP dan tahniah kepada pemaju kerana dapat menyiapkannya mengikut jadual.

“Kualitinya cantik… dari segi dalaman rumah dan rata-rata penerima rumah menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan kerja-kerja yang dibuat,” ujarnya.

Projek yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 19 Mac lalu itu melibatkan keseluruhan 412 unit rumah bernilai RM61.8 juta dibangunkan secara empat fasa.

Beliau turut memaklumkan lebih banyak projek perumahan sedang dalam pembinaan di seluruh negeri, namun masih belum memperoleh CCC sebelum boleh diserahkan kepada pembeli.

“Ya, ini adalah program yang berterusan. Sebenarnya masih banyak yang dalam pembinaan. Tetapi belum dapat sijil menduduki ataupun CCC.

“Selepas ini di Muadzam Shah juga, ada lagi satu yang saya akan datang insyaAllah untuk bagi kunci,” katanya lagi.

Sementara itu, projek PR1MA Muadzam Shah yang baharu dilancarkan melibatkan pembangunan di atas tanah kerajaan seluas 50 ekar merangkumi perumahan dan pembangunan bercampur di mana sehingga Mac 2026, projek tersebut kini berada pada peringkat pembersihan tapak, kerja tanah serta pembinaan struktur rumah.

Related Posts

Rakyat puji Pakej Daya Tahan Selangor Fasa 2, sifatkan langkah Kerajaan Negeri proaktif

SHAH ALAM – Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerima maklum balas positif daripada warga maya yang menyifatkan inisiatif itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu jalan BSI-Ranggu: Pembukaan jalan ditangguh sehingga 30 Jun ini

TAWAU – Rancangan untuk membuka jalan rizab yang menghubungkan Bandar Sri Indah (BSI) dan Ranggu (PR1MA) seperti yang diwar-warkan sebelum ini iaitu pada 17 Jun lalu ditangguh sehingga 30 Jun…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rapid KL lancar pas bulanan gigital RM150, perjalanan tanpa had selama 30 hari

Rapid KL lancar pas bulanan gigital RM150, perjalanan tanpa had selama 30 hari

Sidang Parlimen bermula Isnin, had tempoh PM dan pemisahan kuasa AG jadi tumpuan

Sidang Parlimen bermula Isnin, had tempoh PM dan pemisahan kuasa AG jadi tumpuan

Rakyat puji Pakej Daya Tahan Selangor Fasa 2, sifatkan langkah Kerajaan Negeri proaktif

Rakyat puji Pakej Daya Tahan Selangor Fasa 2, sifatkan langkah Kerajaan Negeri proaktif

Malaysia, Turkmenistan perkukuh kerjasama tenaga menerusi perjanjian strategik Petronas

Malaysia, Turkmenistan perkukuh kerjasama tenaga menerusi perjanjian strategik Petronas

Isu jalan BSI-Ranggu: Pembukaan jalan ditangguh sehingga 30 Jun ini

Isu jalan BSI-Ranggu: Pembukaan jalan ditangguh sehingga 30 Jun ini

Kepelbagaian budaya, agama kekal teras kekuatan perpaduan Sarawak

Kepelbagaian budaya, agama kekal teras kekuatan perpaduan Sarawak