
KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan pendirian terbuka terhadap pelaburan antarabangsa dari pelbagai blok ekonomi, namun tetap berpegang teguh bahawa keputusan strategik negara tidak akan ditentukan oleh mana-mana pihak luar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan negara kekal berdaya saing dalam persekitaran teknologi global yang semakin mencabar dan dinamik.
“Malaysia sedang mengangkat transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai teras utama strategi pembangunan negara.
“Usaha menguasai teknologi baharu perlu dilaksanakan dengan lancar, berfokus dan pantas bagi mengelakkan negara ketinggalan,” katanya ketika merasmikan Pusat Inovasi dan Makmal AI Huawei di ibu negara, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan teknologi tidak harus mencetuskan ketidakseimbangan sosial, khususnya antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menurutnya, pelaksanaan AI perlu bersifat inklusif dengan memastikan setiap lapisan masyarakat memperoleh akses yang adil terhadap kemudahan teknologi.
“Teknologi baharu termasuk AI tidak boleh menyebabkan kita kehilangan nilai kemanusiaan,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Huawei atas komitmen berterusan dalam menyokong agenda pembangunan digital negara.
Beliau berkata, kerjasama yang melibatkan aspek latihan, perkongsian kepakaran dan penggunaan fasiliti mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kecerdasan buatan kini memainkan peranan besar dalam mengubah landskap ekonomi dan kehidupan harian, termasuk dalam sektor pengeluaran, kewangan serta proses membuat keputusan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan itu turut hadir bersama risiko, terutama berkaitan keselamatan sistem dan infrastruktur kritikal negara.
Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan selain sedang merangka dasar tadbir urus serta perlindungan data yang komprehensif.
Beliau menegaskan Malaysia tidak mahu hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berhasrat membangunkan keupayaan tempatan agar mampu bersaing di peringkat global.
Mengakhiri ucapan, Anwar menyeru generasi muda supaya bersedia mendepani cabaran era teknologi dengan penuh hikmah, sambil menegaskan bahawa masa depan teknologi bergantung kepada nilai dan keputusan manusia.




