
SIAPA yang akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika pihak pembangkang (semasa) menjadi kerajaan?
TIDAK ada dalam kalangan pihak pembangkang yang mempunyai locus standi yang mampu memberi jawapan.
Apakah pelan kestabilan politik yang tersedia?
Apakah jaminan negara tidak kembali ke kitaran ketidakstabilan pasca PRU14?
Realitinya, PN sebagai blok pembangkang terbesar sendiri tidak mampu menunjukkan jawapan yang jelas.
Dalam tempoh hampir 3-4 tahun, mereka gagal menamakan calon Perdana Menteri yang konsensus. Ini bukan isu kecil. Ini soal kepimpinan negara.
Tan Sri Muhyiddin Yassin? Tan Sri Abdul Hadi Awang? Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar? Datuk Seri Hamzah Zainudin? Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi? Siapa ‘poster boy’ mereka?
Ketika ini tidak wujud pun kesepakatan kukuh dalam blok pembangkang. Sebagai pembangkang pun gagal bersatu, apatah lagi bila diberi kekuasaan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diasaskan oleh Muhyiddin yang juga pengasas PN itu sendiri pun berdepan pergolakan dalaman.
Malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri ke-9, dengan sokongan kerajaan campuran yang datang daripada UMNO-BN-PN, tetap tidak mampu mengekalkan kestabilan politik jangka panjang.
Ini menunjukkan bahawa menjatuhkan seseorang pemimpin bukanlah penyelesaian, jika pengganti dan pelan masa depan TIDAK jelas.
Di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global, krisis tenaga dan krisis bekalan global, krisis geopolitik dunia, kadar faedah global yang tinggi, tekanan inflasi dan keselamatan bekalan makanan dunia, rakyat memerlukan pelan, bukan sekadar laungan.
Dalam keadaan ini, pembangkang seharusnya tampil dengan pelan fiskal alternatif, strategi kawalan harga, pelan keselamatan pekerjaan dan strategi pelaburan asing, tetapi mereka TIDAK MAMPU.
Perbahasan yang dominan dalam kalangan mereka masih berkisar kepada soal siapa memegang kuasa, bukan bagaimana untuk menyelesaikan masalah rakyat atau setidaknya menjadi semak imbang berkesan dalam sistem demokrasi berperlembagaan.
Sehingga ke hari ini, beberapa unjuran antarabangsa masih menunjukkan Malaysia berada dalam kedudukan yang relatif stabil di bawah kepimpinan Anwar sama ada dari segi politik, keselamatan mahupun ekonomi.
World Bank sendiri mengekalkan atau menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia dalam beberapa laporan terkini, walaupun ekonomi global menunjukkan tanda perlahan.
Sepatutnya, kita bersyukur.
Malaysia telah melalui tempoh paling tidak stabil dalam sejarah moden iaitu pertukaran kerajaan 2018, kejatuhan kerajaan 2020, pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam sepenggal dan keputusan pilihan raya tergantung 2022.
Namun, Allah hadirkan Anwar di saat yang tepat dan beliau berjaya mewujudkan kembali kestabilan itu. Perancangan Allah jua sebaik-baik perancangan.
Sudah-sudahlah.
Malaysia tidak memerlukan lebih banyak drama politik. Malaysia memerlukan kestabilan, strategi dan kepimpinan yang jelas.
Mandat akan dikembalikan kepada rakyat apabila sampai masanya, ketika itu, kembalilah berentap di medan demokrasi.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)




