
KOTA KINABALU – Kerajaan memutuskan penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) peringkat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memperkukuh usaha membanteras aktiviti penyeludupan serta ketirisan ekonomi di kawasan berkenaan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof fokus utama pasukan petugas berkenaan merangkumi tiga aspek penting iaitu pelaksanaan operasi, cabaran di lapangan serta penyelarasan antara agensi.
“Fokus utama yang dikenal pasti bagi task force Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) Sabah & WP Labuan melibatkan isu pelaksanaan iaitu merancang aktiviti penguatkuasaan mengikut keperluan unik Sabah dan WP Labuan,” katanya dalam nota percakapan media pada Isnin.
Menurutnya, Cabaran Operasi adalah mendepani modus operandi penyeludup di kawasan sempadan dan perairan.
Manakala Agihan Tugas Agensi pula akan dilakukan dengan menyelaraskan peranan agensi persekutuan dan negeri termasuk Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) dan agensi berkaitan bagi memastikan penguatkuasaan lebih efisien.
“Kerajaan tidak akan berkompromi sesiapa sahaja yang cuba mengaut keuntungan haram melalui aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang sedia ada bagi memastikan kegiatan tersebut dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.
Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat yang turut menyaksikan penyerahan rasmi mandat kepada Setiausaha Persekutuan Sabah bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah untuk menerajui pasukan khas berkenaan.
Pelaksanaan operasi ini akan disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah sebagai urus setia utama.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru rakyat Sabah dan W.P Labuan untuk menyertai inisiatif Kita Gempur (Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan) untuk menjadi mata dan telinga kerajaan.
Tambahnya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah serta W.P Labuan adalah kunci utama untuk memastikan kedaulatan ekonomi kita terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.



