Oleh: Siti Nur Asyikin Mohd Rosli
KOTA BHARU – Projek Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dinaik taraf dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Kelantan apabila ia berfungsi sebagai pintu masuk strategik yang menghubungkan negeri itu terus ke hab ASEAN.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pembangunan LTSIP bernilai RM440 juta itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan infrastruktur penerbangan, malah membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan dan pelancongan.
Menurut beliau, projek berkenaan akan memperkukuh kedudukan Kelantan dalam rangkaian ekonomi serantau dengan menyediakan akses yang lebih efisien kepada pasaran antarabangsa, khususnya negara-negara ASEAN.
“LTSIP akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri, di samping merangsang aktiviti perdagangan dan menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan mengambil pendekatan realistik dalam merancang pembangunan negeri dengan memberi keutamaan kepada projek-projek strategik yang mampu memberikan impak langsung kepada rakyat.
Tambahnya, kesinambungan projek seperti LTSIP mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan seimbang antara negeri, termasuk Kelantan yang mempunyai potensi besar untuk terus maju.
Dengan pelaksanaan projek ini, kerajaan optimis Kelantan mampu muncul sebagai antara destinasi utama pelaburan dan pelancongan di Pantai Timur, sekali gus memperkukuh ekonomi tempatan dalam jangka masa panjang.







