PUTRAJAYA – UMNO Sabah menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung penyerahan pelaksanaan projek bekalan air bernilai RM4.06 bilion kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop berkata, langkah itu isifatkan sebagai satu strategi signifikan dalam memperkukuh peranan serta keupayaan negeri dalam menguruskan pembangunannya sendiri.
Katanya, penyerahan itu membabitkan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang bertujuan mempercepatkan penyelesaian isu bekalan air yang sekian lama membelenggu rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman.
“Keputusan ini langkah yang tepat memandangkan cabaran unik yang dihadapi oleh Sabah.
“Isu bekalan air di Sabah bukan sahaja bersifat teknikal, malah cabaran struktur dan faktor geografi yang unik. Justeru, penyerahan kuasa pelaksanaan kepada kerajaan negeri adalah langkah tepat kerana ia membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, bersasar dan selari dengan realiti serta keperluan sebenar di lapangan,” katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.
Beliau berkata, inisiatif ini selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menekankan kepentingan autonomi Sabah dalam mengurus kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat.
Samasuddin memaklumkan, pndekatan Kerajaan Persekutuan itu juga dianggap sebagai satu bentuk kepercayaan tinggi terhadap keupayaan pentadbiran negeri dalam melaksanakan projek berskala besar dan kritikal.
Menyentuh mengenai pelaksanaan projek berskala besar itu, Samasuddin mengingatkan supaya aspek tadbir urus menjadi keutamaan bagi memastikan matlamat projek tercapai sepenuhnya.
“Fokus utama selepas ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan dengan cekap, telus dan berintegriti, agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah tanpa sebarang kelewatan atau ketirisan.
“UMNO Sabah menyatakan komitmen untuk terus menjadi rakan strategik bagi memastikan agenda pembangunan negeri berjalan berkesan demi masa depan Sabah yang lebih mampan,” katanya




