
MIRI – Gara-gara terpedaya dengan kata-kata manis seorang kenalan lelaki di aplikasi TikTok, seorang pesara swasta wanita berputih mata selepas kerugian RM1,173,700 akibat menjadi mangsa ‘Love Scam’.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa yang berusia 64 tahun itu telah membuat laporan berhubung kejadian terbabit di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri pada Rabu.
Menurutnya, perkenalan mangsa dan suspek dipercayai bermula di aplikasi TikTok sebelum beralih ke WhatsApp selepas suspek meminta nombor telefon warga emas berkenaan.
“Suspek dikesan menyamar sebagai warganegara asing dengan menggunakan gambar milik individu lain berserta dokumen peribadi yang telah disunting bagi memperdaya mangsa.
“Siasatan awal mendapati suspek menabur janji dengan mendakwa dirinya terlibat dalam satu projek cari gali yang telah diluluskan, namun memohon bantuan kewangan daripada mangsa atas alasan akaun bank miliknya disekat atau digodam,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Farhan Lee berkata, wang yang diminta itu kononnya adalah untuk bayaran pendahuluan dan kos projek terbabit.
Bagi meyakinkan warga emas itu, suspek turut menjanjikan bahawa kesemua wang pinjaman tersebut akan dipulangkan semula dalam bentuk mata wang dolar Amerika Syarikat (USD).
Akibat terpedaya dengan tipu helah kasanova terbabit, mangsa telah melakukan 59 transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke dalam sembilan akaun bank pihak ketiga berbeza yang diberikan suspek.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu hidup-hidup selepas menceritakan perkara tersebut kepada ahli keluarganya sebelum tampil membuat laporan polis,” ujarnya.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun berserta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.







