SEPANG – Kerajaan memberi jaminan keselamatan jemaah haji Malaysia kekal terpelihara walaupun wujud kebimbangan susulan konflik di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengambil langkah kesiapsiagaan termasuk menubuhkan pasukan khas serta merangka pelan tindakan menyeluruh bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Keseluruhannya, kerajaan yakin dengan keupayaan jentera sedia ada untuk memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara sepanjang musim haji kali ini.
“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berautoriti. Kerajaan akan terus menyalurkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Haji di sini, hari ini.
Beliau berkata, TH turut memperkenalkan inisiatif ‘Haji Lestari’ yang menekankan amalan kitar semula bahan buangan sebagai usaha menyokong kelestarian alam sekitar di Tanah Suci.
Zeramai 141 petugas haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci hari ini sebagai kumpulan pertama bagi melaksanakan persiapan operasi musim haji 1447H/2026M.
Daripada jumlah itu, 61 adalah petugas kebajikan manakala 80 lagi petugas perubatan, sementara kumpulan kedua seramai 107 petugas dijadualkan berlepas pada 15 April ini.
Bagi musim haji tahun ini, hari Wukuf pada 9 Zulhijjah dijangka jatuh pada Selasa, 26 Mei.
Zulkifli berkata, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula 18 April ini membabitkan 31,600 jemaah, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei.
Beliau berkata, persiapan operasi haji tahun ini diperkukuh melalui pelbagai latihan, kursus dan penambahbaikan berterusan oleh TH bagi memastikan kelancaran keseluruhan.
Dalam perkembangan lain, katanya, isu berkaitan peranan wanita dalam tugasan haji turut diberi perhatian dan akan diperincikan oleh pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Mufti.







