Gambar hiasan
KOTA BHARU – Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki yang bertindak agresif melibas anggotanya dengan parang dalam satu pemeriksaan di Leboh Persiaran UiTM di sini malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek didapati memiliki sembilan rekod jenayah lampau.
Sekitar jam 11.40 malam, polis mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya ketika pemeriksaan dilakukan, salah seorang suspek berusia 30-an bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang dan melibas ke arah polis.
“Polis kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek bagi mempertahankan diri dan mengelak kecederaan serius.
“Suspek yang terkena tembakan sempat melarikan diri sebelum berjaya ditahan menerusi operasi segera di kawasan berhampiran,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, rakan suspek yang berada di lokasi kejadian sempat melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
“Suspek yang ditahan cedera di paha dan kini menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk dadah, ugutan jenayah dan keganasan rumah tangga,” katanya.
Jelasnya, kesemua rekod berkenaan menunjukkan suspek mempunyai latar belakang jenayah yang serius dan berulang.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya yang mengesahkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini.


