Anak Daim didakwa gagal isytihar aset, mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, iaitu Asnida Daim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wanita berusia 65 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Asnida didakwa dengan sengaja mengemukakan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi syarat notis dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang diserahkan kepadanya pada 14 November 2023.

Antara aset yang didakwa tidak diisytiharkan ialah pegangan saham dalam lima syarikat iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berhujah kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta berkenaan adalah tidak boleh dijamin dan tertuduh juga kerap ke luar negara, justeru sekatan diperlukan bagi memastikan kehadirannya di mahkamah.

Mahadi turut memaklumkan bahawa Asnida sebelum ini gagal hadir ke pejabat SPRM untuk dirakam keterangan pada 13 Februari dan 11 Mac, sebelum hanya hadir semalam bagi tujuan berkenaan.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Gurdial Singh Nijar, menyifatkan pertuduhan terhadap anak guamnya sebagai kesalahan teknikal kerana beliau telah memberikan maklumat tetapi didakwa gagal mengisytiharkan sebahagian aset.

Beliau berkata, aset yang dipersoalkan melibatkan syarikat yang tidak aktif atau sedang dalam proses penutupan. Gurdial turut memohon supaya pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Beliau juga memaklumkan bahawa perintah serupa yang dikenakan terhadap ibu tiri tertuduh, Toh Puan Na’imah Abd Khalid, sebelum ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi peguam bela, Nizamuddin Hamid, turut berhujah bahawa tindakan SPRM memanggil tertuduh untuk dirakam keterangan adalah tidak munasabah kerana notis diberikan dalam tempoh singkat walaupun pihak keluarga memaklumkan mereka berada di luar negara.

Bagaimanapun, Mahadi menegaskan isu yang perlu dipertimbangkan mahkamah ketika ini adalah faktor risiko dan bukan merit kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Suami tertuduh, dikenali sebagai Rashid, bertindak sebagai penjamin dan membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini dilaporkan SPRM mengeluarkan notis untuk mengesan empat anak Daim bagi membantu siasatan berhubung pengisytiharan aset selepas mereka didakwa gagal memberi maklum balas terhadap dua notis rasmi yang dikeluarkan oleh suruhanjaya itu.

Related Posts

Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih menyeluruh bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global, termasuk mempertimbangkan kawalan terhadap pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian, kata Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pengurusan dana kemanusiaan perlu diperketatkan elak salah guna

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengurusan dana kemanusiaan oleh badan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkemas bagi mengelakkan berlakunya salah guna serta penyelewengan. Perdana Menteri berkata, terdapat keperluan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

Pengurusan dana kemanusiaan perlu diperketatkan elak salah guna

Pengurusan dana kemanusiaan perlu diperketatkan elak salah guna

Kerajaan fokus tiga pendekatan hadapi gelombang kedua krisis tenaga

Kerajaan fokus tiga pendekatan hadapi gelombang kedua krisis tenaga

Golongan muda wakili 60 peratus permohonan baharu ahli UMNO

Golongan muda wakili 60 peratus permohonan baharu ahli UMNO

Kutipan dana kemanusiaan perlu dikawal elak penyelewengan

Kutipan dana kemanusiaan perlu dikawal elak penyelewengan

Microsoft Elevate lahir 80,000 peserta mahir AI

Microsoft Elevate lahir 80,000 peserta mahir AI