PUTRAJAYA – Golongan pesawah dijangka berdepan peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga diesel, selain turut memberi kesan terhadap rantaian pengeluaran termasuk bekalan baja dan penggunaan jentera pertanian.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, tekanan itu menyebabkan ramai pesawah bertindak menangguhkan kerja di sawah susulan peningkatan kos operasi.
Menurut beliau, kos perkhidmatan seperti pembajakan, penuaian dan logistik kini dianggarkan meningkat antara 50 hingga 70 peratus, di mana situasi semasa menyebabkan petani berdepan beban kewangan semakin tinggi.
“Perkara ini bukan perkara baharu, tetapi kenaikan terbaharu akibat krisis yang sedang berlaku menjadikannya lebih berat untuk ditanggung pesawah. Hampir semua operasi, daripada jentera hingga pam air semuanya bergantung kepada diesel.
“Bukan setakat masalah diesel, pengedaran baja pula berlaku kelewatan kerana semua bergantung pada tender. Saya difahamkan, tender untuk kawasan MADA belum dimuktamadkan. Jika tiada penyelesaian, isu ini sangat memberi kesan kepada kepada pesawah,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, peningkatan kos itu akhirnya terpaksa ditanggung pesawah dan akan menjejaskan kemampuan mereka untuk meneruskan aktiviti penanaman.

Menurut beliau, berbeza dengan sektor lain seperti perikanan dan pekebun kecil, pesawah terpaksa menyerap sepenuhnya kenaikan kos tanpa sebarang sokongan melalui Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Kos pembajakan kini meningkat kepada sekitar RM200 bagi setiap serelung berbanding hanya RM120 hingga RM130 sebelum ini, manakala kos penuaian dijangka melonjak kepada RM250 daripada RM180.
“Pesawah ketika ini memang tiada menerima insiatif seperti nelayan atau pekebun lain yang menerima subsidi melalui sistem SKDS. Bila tidak tersenarai, ia turut menambah beban kos seharian kita,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Rashid menyeru kerajaan menyediakan penyelesaian lebih menyeluruh dan holistik bagi membantu pesawah menghadapi tekanan kos berkaitan.
“Kami pesawah sangat mengharapkan kerajaan bantu kami yang sangat bergantung kepada alatan diesel. Nilai semula dasar sedia ada termasuk memasukkan jentera tanaman padi ke dalam SKDS bagi memastikan kelangsungan sektor sawah kekal terjamin.
“Jika keadaan ini masih berterusan, kami bimbang disebabkan kos semasa yang tinggi, akan ada pesawah tidak meneruskan tanaman, kalau buat pun berkemungkinan hanya sekadar untuk sara diri dan bukan tujuan bagi komersial,” katanya.
Terdahulu, harga runcit diesel di Semenanjung sebelum ini dinaikkan kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April, meningkat 50 sen daripada RM5.52, susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global akibat konflik Asia Barat.



