
PEMERGIAN wartawan penyiaran terkenal, Karam Singh Walia, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mendiang dikenali ramai kerana gaya penyampaian berita yang unik sepanjang kerjayanya, khususnya melalui penggunaan pantun sebagai penutup laporan.
“Sesiapa sahaja yang menonton Buletin TV3, khususnya dari era 90-an hingga 2014, pasti cukup mengenali penampilan beliau yang begitu sinonim dengan pantun bagi mengakhiri setiap laporan… satu identiti unik yang kekal dalam ingatan ramai.
“Saya juga antara yang setia mengikuti laporan beliau dan amat menghargai dedikasi serta sumbangannya kepada dunia penyiaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada adik mendiang, Jasbant Singh, serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan tersebut.
Terdahulu, Karam Singh dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Klang, Selangor, pada pukul 3.30 pagi, hari ini.



