
KUANTAN – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disarankan menyemak semula kelayakan dan kriteria pemberian sijil halal kepada pengilang, pengeluar, serta pengusaha restoran bukan Islam di negara ini.
Cadangan tersebut dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari atas dasar kebimbangan mengenai tahap pemahaman dan penghayatan sebenar terhadap konsep Halalan Thoyyiban.
Beliau berkata, terdapat beberapa hujah utama mengenai dasar sedia ada yang memerlukan ia diperhalusi.
“Antaranya adalah bagi tujuan penghayatan hukum yang mana pihak tidak beriman dengan hukum-hakam Islam dikhuatiri tidak mempunyai kefahaman mendalam mengenai batas syarak yang menetapkan status halal dan haram sesuatu produk.
“Selain itu, perkara berkenaan juga membabitkan integriti sesuatu produk… kejujuran dalam proses pengeluaran boleh dipersoal memandangkan jaminan 100 peratus halal memerlukan kepatuhan yang bukan sekadar teknikal, malah merangkumi aspek spiritual,” jelasnya.
Ahmad Irshadi juga menyentuh berkaitan kriteria kelayakan sesuatu produk dan mencadangkan agar mana-mana pengusaha yang ingin mengeluarkan produk halal diwajibkan memeluk agama Islam terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar mendalami dan menghormati hukum Islam secara menyeluruh.
Beliau juga menggesa umat Islam agar lebih berhati-hati dan mengutamakan produk dikeluarkan pengusaha Muslim sebagai langkah memastikan sumber makanan diambil benar-benar diyakini status halalnya.
“Mencari yang halal itu adalah fardu. Soal pemakanan tidak boleh dipandang remeh kerana apa yang dimakan akan membentuk darah daging dan mempengaruhi hati seseorang individu.
“Jadi, hal ini menuntut perhatian pihak berkuasa agama untuk menilai sama ada terdapat keperluan bagi memperketatkan syarat permohonan sijil halal atau mewujudkan klasifikasi baharu bagi membezakan antara produk keluaran Muslim dan bukan Muslim secara lebih jelas di pasaran,” tambahnya.
Setakat ini, pihak JAKIM masih mengekalkan prosedur sedia ada yang terbuka kepada semua pengusaha selagi mereka mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang ditetapkan.




