KERAJAAN Selangor berjaya mengeluarkan 900 daripada 1,024 keluarga kategori miskin tegar sepanjang Julai hingga pertengahan bulan ini.
Exco Sumber Manusia Selangor, V Papparaidu berkata, kejayaan itu hasil dan pendekatan dilaksanakan pentadbiran termasuk pemberian program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) selain sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor.
“(Julai) Sejumlah 1,024 keluarga dikesan tergolong dalam kategori miskin tegar dalam tempoh empat bulan ini. Sekarang kita dapat kurangkan kepada 124 keluarga yang mana 900 sudah dikeluarkan dari kategori itu.
“Miskin tegar perlu dihapuskan dan kita perlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mengeluarkan mereka dari kelompok itu. Pentadbiran akan berusaha mengatasi perkara ini,” katanya kepada media pada Karnival Jobcare Istimewa Selangor 2024, semalam.
Menjelaskan mengenainya, Papparaidu berkata, miskin tegar tidak dapat dihapuskan secara menyeluruh kerana ia melibatkan perbagai faktor termasuk kematian ketua isi rumah atau diberhentikan kerja.
“Sasaran negeri menoktahkan miskin tegar pada Julai sudah dicapai namun tak boleh terus kosong. Ada kesinambungan disebabkan pelbagai punca yang menyebabkan masuk dalam miskin tegar seperti kematian, diberhentikan kerja,” katanya.
Julai lalu, Selangor berjaya mencapai sasaran menoktahkan miskin tegar hasil kerjasama pelbagai pihak dan agensi berkaitan.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapus miskin tegar menjelang 2025, namun disingkatkan pada tahun ini.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat.
Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntuk RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.






