TELUK INTAN – Cubaan menyeludup 80 tan beras putih import dipercayai dari Thailand untuk diedarkan ke beberapa negeri di utara tanah air berjaya digagalkan dalam serbuan oleh Kawalselia Padi dan Beras Perak menerusi Op Pintas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Hentian Sungai Lebey, di sini pada Selasa.
Dalam operasi sekitar jam 4 petang itu, lima lelaki warga tempatan termasuk dua pemandu dan tiga kelindan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan bersama dua treler yang membawa muatan beras bernilai lebih RM308,000.
Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Perak, Nurul Zhahirah Nahrawi berkata, semua suspek gagal mengemukakan dokumen sah seperti kebenaran bertulis, invois pembelian dan permit pemindahan antara negeri semasa pemeriksaan dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati bungkusan beras yang menggunakan nombor kontrak Padiberas Nasional Berhad (Bernas) disyaki palsu dan dipercayai digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Sungai Manik, di sini pada Rabu.
Siasatan awal mendapati beras berkenaan dipercayai dibawa dari Pantai Timur dan dirancang untuk diedarkan kepada pemborong di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Menurut beliau, keseluruhan rampasan termasuk dua treler dianggarkan bernilai RM568,000 dan kesemua barangan disita serta dibawa ke stor penyimpanan agensi berkenaan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan keterangan kelima-lima suspek telah pun diambil bagi membantu siasatan.







