
SANDAKAN – Seramai 769 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi satu program pemindahan tahanan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Pemindahan itu melibatkan tahanan daripada tiga depot iaitu Depot Imigresen Papar, Sandakan dan Tawau yang dibawa menggunakan kapal MV Antonia dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada jumlah tersebut seramai 438 adalah lelaki dewasa, 140 perempuan dewasa, 98 kanak-kanak lelaki dan 93 kanak-kanak perempuan berusia antara tiga bulan hingga 73 tahun.
“Kanak-kanak terbabit diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka sepanjang proses pemindahan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Menurut beliau, kesemua PATI yang terlibat telah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan ‘Travel Document’ (TD) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ini.
Sehingga kini, seramai 4,762 warganegara Filipina telah dipindahkan pulang ke negara asal melalui program yang sama menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang dari Sabah kepada 5,620 orang.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan tempoh penahanan yang berpanjangan di depot-depot imigresen negeri ini,” ujarnya.



