
INANAM – Seramai 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (prauniversiti) Kota Kinabalu menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) yang bertujuan memperkukuh kesedaran dalam kalangan belia terhadap keselamatan siber serta memupuk budaya penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab.
Kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di sini pada Khamis.
KIS itu memberi tumpuan kepada pelbagai isu semasa termasuk penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi dan penularan maklumat palsu.
Melalui pendekatan interaktif, para pelajar turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi penipuan serta menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap kepentingan berhemah di media sosial dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi secara berlebihan bagi mengelak risiko keselamatan dan penyalahgunaan data.

KIS kini giat diperluas ke institusi pendidikan di seluruh negeri Sabah yang mana setakat Oktober 2025 sebanyak 4,734 institusi pendidikan di seluruh negara telah menyertai kempen ini dan sebanyak 434 daripadanya adalah dari negeri Sabah.
Selepas program tersebut, Fahmi turut berkesempatan beramah mesra bersama para pelajar.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam (prauniversiti) Kota Kinabalu, Suhaibul Kassim.






