
TAWAU – Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (Pewarta) menyifatkan pengerusinya, Allahyarham Shamry Mohd Sani sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan sentiasa membantu rakan wartawan lain dalam melaksanakan tanggungjawab di lapangan.
Timbalan Pengerusi Pewarta, Tamrin Jamil berkata, pemergian Allahyarham amat mengejutkan selain merupakan satu kehilangan besar buat warga media di Tawau serta seluruh ahli persatuan.
“Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi, sabar, mudah didekati serta sentiasa membantu rakan-rakan wartawan tanpa mengira latar belakang.
“Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin tetapi juga sahabat yang sangat memahami, sentiasa memberi dorongan dan menjadi sumber inspirasi kepada ramai wartawan muda,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Menurut Tamrin, di bawah kepimpinan Allahyarham, Pewarta berkembang sebagai wadah penyatuan wartawan tempatan yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
“Pewarta turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham yang berkhidmat sebagai pengerusi sulung sejak penubuhan Pewarta pada 2011 itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tawau pada pagi Khamis.





