PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mematahkan cubaan tujuh warga Afghanistan memasuki Malaysia menggunakan visa palsu di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa.
AKPS menerusi kenyataan memaklumkan,
kesemua mereka termasuk dua kanak-kanak ditahan dalam dua kumpulan berasingan.
Katanya, kumpulan pertama tiba di negara pada pagi Ahad lepas manakala kumpulan kedua tiba pada malam Selasa.
“Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit yang terdiri daripada lima orang dewasa dan dua kanak-kanak telah menggunakan visa palsu dipercayai diperoleh dari Uzbekistan.
“Kesemua tahanan mendakwa telah melarikan diri dari Iran sebelum menjadikan Malaysia destinasi akhir,” katanya, pada Jumaat.

Dalam pada itu, agensi terbabit berkata,
AKPS KLIA kemudiannya mengambil tindakan tegas dengan menolak kemasukan kesemua mereka.
Tegas, perkara itu dilakukan kerana kesemua individu yang ditahan telah melanggar syarat imigresen dan memalsukan dokumen perjalanan.
“Tindakan pantas dan berkesan ini mencerminkan komitmen berterusan AKPS dalam memastikan kawalan keselamatan sempadan berada pada tahap tertinggi.
“AKPS menegaskan bahawa pintu masuk negara tidak akan dikompromi oleh sebarang cubaan migrasi tidak sah,” katanya








