PERAI – Seramai 400 orang penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan daripada pihak Jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru sempena perayaan Hari Deepavali tahun ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan itu bukan sahaja membawa kegembiraan serta kebahagiaan ketika musim perayaan kepada golongan kurang bernasib baik malah mampu meringankan beban kewangan mereka.
“Sebagai seorang Ketua Menteri, saya memahami kepentingan dan keistimewaan setiap perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum dari pelbagai latar belakang ekonomi.
“Jadi tidak mungkin kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, membiarkan pihak-pihak yang tidak berkemampuan untuk tidak menyambut perayaan, khususnya Pesta Cahaya pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan di Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru di sini pada Selasa.

Turut sama hadir, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Datuk Seri S. Sundarajoo, Presiden Kuil Sri Muniswarar, Major (K) M. Segaran, Ketua Pemegang Amanah Kuil Sri Muniswarar yang juga Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Datuk Seri N. Gobalakrishnan serta barisan ahli jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar Jalan Baru.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memuji usaha dan komitmen pihak Jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru yang telah mengadakan sumbangan hamper selama 16 tahun berturut-turut tanpa gagal, setiap kali menjelangnya sambutan Hari Deepavali.
“Jujur, saya amat terharu dengan usaha pihak kuil dalam menganjurkan majlis ini yang bukan sahaja menjaga kebajikan khususnya golongan OKU dan kurang berkemampuan, malah sekaligus mengeratkan lagi ikatan persaudaraan serta semangat muhibah sesama kita.
“Oleh itu, tahniah saya ucapkan kepada pihak pengurusan kuil kerana telah lama berganding bahu bersama Kerajaan Negeri dalam usaha mengekalkan status negeri ini sebagai negeri berkebajikan,” katanya.
Difahamkan, semua penerima sumbangan yang terdiri daripada pelbagai kaum menerima hamper berupa barangan keperluan dapur yang sering digunakan untuk memasak juadah-juadah istimewa bersempena Pesta Cahaya.
Malah, pihak pengurusan kuil turut mengagihkan sumbangan baju, kasut raya serta duit raya kepada kira-kira 200 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Shan Pulau Pinang; Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Batu Grace, Kulim, Kedah; Sekolah Pendidikan Khas Harapan (Pektas) dan Tadika Anak Emas Jaya, Perai.

Pada masa sama, Kon Yeow turut memuji inisiatif yang diambil oleh jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar untuk membina sebuah dewan serbaguna dekat Bukit Mertajam.
“Usaha ini bakal memberikan memanfaat kepada masyarakat setempat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mengadakan aktiviti-aktiviti keraian, kesukanan dan lain-lain,” katanya.
Turut sama berucap Presiden Kuil Sri Muniswarar, Major (K) M. Segaran, memaklumkan bahawa pihak kuil telah membelanjakan lebih RM150,000 bagi pemberian sumbangan sempena perayaan Deepavali pada tahun ini.
Selain itu, pihak kuil juga sedang merancang untuk membina sebuah dewan serbaguna berkapasiti 1,000 orang dekat Bukit Mertajam yang bakal memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
“Setiap tahun, pihak kuil membelanjakan kira-kira RM400,000 bagi membantu golongan memerlukan termasuk pemberian buku kepada pelajar di semua 28 buah sekolah (Tamil) di negeri ini.
“Banyak juga projek telah dirancang seperti pembinaan rumah kebajikan, pusat dialisis serta pembinaan pusat sehenti bagi upacara adat di kawasan Perai kerana belum ada kemudahaan seumpamanya di Pulau Pinang setakat ini,” ulasnya lanjut.






