
SERANGAN Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 300 kakitangan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA), kata ketua agensi tersebut pada Ahad.
Menurut Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini menyatakan jumlah korban telah melepasi angka yang mengerikan sebanyak 300 korban, dalam satu hantaran di platform X.
“Kebanyakan besar daripada mereka terbunuh oleh tentera Israel bersama anak-anak dan ahli keluarga mereka, seluruh keluarga dihapuskan.
“Majoriti kakitangan UNRWA yang terbunuh merupakan petugas kesihatan dan guru.
“Beberapa daripada mereka maut ketika sedang menjalankan tugas demi komuniti mereka,” tambahnya,” katanya, lapor Anadolu.
Lazzarini menegaskan tiada apa yang boleh membenarkan pembunuhan ini.
“Jika tiada undang-undang diambil, ini akan membawa kepada lebih pembunuhan. Mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.
UNRWA, yang diasaskan pada tahun 1949 memainkan peranan penting sebagai talian hayat kepada pelarian Palestin dengan memberikan sokongan kepada hampir 5.9 juta individu di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan.
Di Gaza sahaja, kira-kira 2.4 juta penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, menurut data daripada Bank Dunia.
Sejak 2 Mac, Israel telah menutup semua lintasan sempadan ke Gaza, menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan. Tindakan ini telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia ada, menurut laporan daripada agensi kerajaan, organisasi hak asasi manusia dan badan antarabangsa.
Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Semenanjung Gaza, yang telah mengorbankan lebih 53,300 rakyat Palestin di mana kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.





