
KUCHING – Penggunaan bot elektrik yang dilengkapi teknologi tenaga solar berpotensi membuka laluan kepada pembangunan sistem pengangkutan air lebih hijau dan mampan di Sarawak, khususnya bagi menyokong keperluan pengangkutan di kawasan sungai serta pedalaman.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pembangunan bot elektrik oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) membuktikan potensi penggunaan tenaga bersih dan teknologi baharu dalam sektor pengangkutan air negeri.
Menurutnya, usaha memperkenalkan teknologi pengangkutan mesra alam tidak seharusnya tertumpu kepada pengangkutan darat semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pengangkutan sungai yang memainkan peranan penting kepada masyarakat Sarawak.
“Walaupun banyak perhatian diberikan kepada mobiliti hijau di darat, kita juga perlu meneroka peluang memperkenalkan teknologi yang lebih bersih dan mampan dalam sektor pengangkutan air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai (RTP) bagi Bot Elektrik SEB di Pangkalan Sapi, pada Rabu.
Kim Shin berkata, bot elektrik sepanjang 10 meter itu dilengkapi dua motor elektrik berkuasa 40 kilowatt (kW) setiap satu, sistem bateri berkapasiti 92 kilowatt-jam (kWh) serta panel solar di bahagian bumbung berkapasiti 3.6 kilowatt puncak (kWp).
Menurutnya, bot berkenaan mempunyai anggaran jarak operasi antara 40 hingga 50 kilometer dengan tempoh penggunaan sekitar tiga hingga empat jam, selain kelajuan maksimum 25 kilometer sejam.
Bot yang mempunyai kapasiti berdaftar seramai 12 penumpang itu akan digunakan di kawasan takungan Empangan Batang Ai bagi tujuan pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar, pengangkutan kakitangan serta lawatan ke ladang solar terapung.
Dalam pada itu, Kim Shin berkata, panel solar yang dipasang pada bot tersebut berfungsi membantu pengecasan bateri ketika beroperasi, manakala pengecasan turut boleh dilakukan menerusi bekalan elektrik daripada grid.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan sistem pendorongan elektrik membolehkan bot itu beroperasi tanpa menghasilkan pelepasan ekzos secara langsung, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api marin konvensional.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan daripada pengalaman pelaksanaan projek E-Penambang sebelum ini yang menjadi antara usaha meneroka penggunaan teknologi elektrik dalam pengangkutan sungai.
“Projek seperti ini membolehkan kita memperoleh pengalaman berharga mengenai prestasi bot, kebolehpercayaan operasi, keperluan pengecasan dan penyelenggaraan.
“Semua ini merupakan pertimbangan penting sebelum penggunaan bot elektrik dapat diperluas,” katanya.
Kim Shin berkata, pengalaman operasi bot elektrik di Batang Ai akan membantu pihak berkaitan menilai kesesuaian teknologi berkenaan untuk kegunaan lain pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa faktor jarak perjalanan, kemudahan pengecasan, keadaan sungai, keselamatan penumpang dan keberkesanan kos perlu diteliti sebelum teknologi tersebut diperkenalkan secara lebih meluas.
Menurutnya, aspek keselamatan serta pematuhan terhadap peraturan maritim tetap menjadi keutamaan dalam usaha memperkenalkan teknologi baharu kepada sektor pengangkutan air.
“Inovasi dan kelestarian mesti bergerak seiring dengan keselamatan. Bot elektrik perlu memenuhi piawaian keselamatan maritim, syarat pelesenan serta peraturan operasi yang ditetapkan,” katanya.





