
KUCHING – Sarawak memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti menerusi empat kerjasama strategik melibatkan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta organisasi berkaitan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber semula jadi negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pemuliharaan hidupan liar, penyelidikan sumber marin, ekopelancongan serta pembangunan modal insan.

Menurutnya, inisiatif itu turut bertujuan memperkukuh perkongsian kepakaran dan teknologi bagi memastikan pengurusan hutan serta sumber biodiversiti dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Bagi memperkasakan usaha konservasi serta pemindahan kepakaran dan teknologi, beberapa lagi kerjasama strategik telah dan akan dilaksanakan,” katanya yang juga merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Awang Tengah berkata, antara kerjasama berkenaan ialah memorandum perjanjian (MoA) antara Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi melaksanakan operasi Pemantauan dan Penyelamatan Hidupan Liar (WiMoR) di Projek Hidroelektrik Baleh.
Menurutnya, kerjasama itu merupakan antara langkah memperkukuh pengurusan dan pemuliharaan hidupan liar dalam pelaksanaan projek pembangunan berkaitan.
Dalam pada itu, SFC turut menjalin memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaya (UM) bagi menjalankan kajian keberkesanan tukun tiruan Reef Ball.
Kajian berkenaan merangkumi peranan Reef Ball sebagai kaedah perlindungan dan pengayaan sumber marin, selain menilai kesan pelaksanaannya terhadap sosioekonomi komuniti setempat.
Menurut Awang Tengah, kerjasama itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan Projek Sarawak Reef Ball Fasa Pertama yang menerima pengiktirafan sebagai ’World’s Longest Reef Ball Barrier Reef’ oleh The Reef Ball Foundation yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat.
Selain itu, SFC turut menjalin kerjasama dengan Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS) dalam bidang ekopelancongan dan pembangunan modal insan.
Kerjasama bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) pula memberikan tumpuan kepada pelaksanaan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), inovasi serta kesedaran awam berkaitan konservasi dan alam sekitar.
Sementara itu, Awang Tengah berkata, Jabatan Hutan Sarawak turut bekerjasama dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dalam membangunkan teknologi pemulihan hutan yang lebih praktikal.
Antara hasil kerjasama berkenaan ialah pembangunan mesin menghasilkan bebola benih atau seedball yang berupaya menghasilkan sehingga 3,000 bebola benih sehari.
Menurutnya, teknologi itu menyediakan kaedah alternatif bagi menyokong usaha pemulihan hutan, khususnya di kawasan yang sukar diakses.
Kerjasama strategik antara agensi, institusi penyelidikan dengan pihak industri itu turut menyokong usaha kerajaan Sarawak memperkukuh pengurusan hutan secara mampan melalui penggunaan sains, teknologi dan inovasi.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak





