
KUCHING – Sebanyak 38 bangunan, monumen, tapak bersejarah dan tapak warisan bawah air di Sarawak telah diwartakan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 bagi memastikan khazanah sejarah dan warisan negeri terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha pemeliharaan warisan turut diperkukuh menerusi Program Inventori Warisan Ketara Sarawak yang merekodkan sebanyak 407 inventori warisan dari 10 hingga 14 Ogos lalu.
Menurutnya, Jabatan Muzium Sarawak turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan bangunan, monumen dan tapak bersejarah yang mempunyai nilai warisan terus diberikan perhatian.
“Jabatan Muzium Sarawak turut menubuhkan Jawatankuasa Kerja Warisan Sarawak (JKKWS) serta menyempurnakan kerja pemeliharaan Memorial Pertempuran Beting Maro (1849),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, Jabatan Muzium Sarawak turut menerima sumbangan peralatan industri minyak dan gas daripada Sarawak Shell Berhad, Cawangan Miri pada suku kedua tahun ini.
Menurutnya, sumbangan itu merangkumi sebuah kepala telaga dasar laut (Subsea Wellhead) dan satu set pemasangan peralatan pelantar penggerudian (Drilling Rig Equipment Assembly).
Beliau berkata, peralatan berkenaan mencerminkan perkembangan teknologi industri minyak dan gas di Sarawak sejak lebih satu abad lalu, sekali gus menjadi sebahagian daripada khazanah sejarah perindustrian negeri.
Sebagai menghargai sumbangan itu, Jabatan Muzium Sarawak akan menganjurkan pameran sementara selama tiga bulan bertajuk Donated Legacy: Building Collections bermula November 2026.
”Pameran berkenaan akan menampilkan 63 objek terpilih daripada koleksi Jabatan Muzium Sarawak bagi memperkenalkan kepelbagaian bahan warisan kepada pengunjung,” jelas beliau.
Pameran itu turut diadakan bersempena Persidangan Warisan Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 24 November 2026 di Muzium Budaya Borneo (BCM), Kuching.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak


