KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI membuktikan perang terhadap pengubahan wang haram dan salah guna kuasa bukan sekadar slogan apabila Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sudah membekukan sejumlah RM4.3 bilion dan menyita RM1 bilion susulan siri siasatan kes jenayah ‘mafia korporat’, antara akhir 2022 hingga September lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AMLA turut mengenakan kompaun berjumlah RM1.1 bilion dalam usaha membanteras kegiatan pengubahan wang haram serta salah guna kuasa berkaitan aktiviti perniagaan dan korporat.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan badan penguat kuasa terus mempergiat tindakan terhadap pelanggaran undang-undang termasuk kes berkaitan aktiviti perniagaan, manipulasi pasaran saham dan salah guna kuasa.
“Tindakan itu membuktikan badan penguatkuasa terus mempergiat usaha menangani pelanggaran undang-undang termasuk kes yang melibatkan kepentingan korporat dan pasaran saham.
“AMLA sejak 2022 hingga September 2026 telah berjaya membekukan jumlah RM4.3 bilion, menyita RM1 bilion, melucut hak RM48.3 juta dan kompaun RM1.1 bilion,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan tindakan penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan sektor korporat termasuk manipulasi pasaran saham, pelanggaran pendedahan korporat dan aktiviti pinjaman wang haram yang disertai ugutan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas dana bernilai RM37.53 bilion membabitkan kes sama, namun tidak memperincikan tempoh rampasan itu dibuat.
“Dalam konteks ini (rampasan BNM dan SPRM), sebahagian daripadanya, iaitu RM28 bilion, membabitkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hutangnya.
“Sejumlah RM28 bilion daripada RM37.53 bilion ini untuk menyelesaikan atau melangsaikan hutang 1MDB,” katanya.

