
SEREMBAN – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan jabatan itu dan dua lori di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, berhampiran susur keluar Senawang, malam Khamis.
Kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu dipercayai berlaku ketika anggota JPJ berkenaan sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di lorong kecemasan.
Bagaimanapun, sebuah lagi lori yang datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) milik JPJ serta lori yang sedang diperiksa.
Rempuhan itu mengakibatkan seorang anggota JPJ maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan JPJ Negeri Sembilan mengesahkan seorang anggota jabatan itu maut dalam kemalangan berkenaan.






