
KUCHING – Impian penduduk di seluruh kawasan N.43 Daro untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam secara stabil kini menjadi kenyataan, sekali gus menjimatkan perbelanjaan bulanan mereka hingga sepuluh kali ganda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan tiga projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles oleh Kerajaan Sarawak telah menamatkan ‘penderitaan’ kewangan penduduk yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada set jana kuasa (generator).
“Sebelum ini, hanya sekitar 30 peratus kawasan Daro mempunyai bekalan elektrik, manakala selebihnya terutamanya di jajaran pesisir sungai terpaksa membelanjakan RM500 hingga RM800 sebulan semata-mata untuk membeli bahan api diesel atau petrol.
“Kini, selain menikmati tenaga elektrik yang stabil 24 jam, perbelanjaan rakyat berjaya dikurangkan dengan ketara apabila mereka hanya perlu membayar bil elektrik sekitar RM50 sebulan sahaja,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 di DUN Sarawak, pada Rabu.
Mengulas mengenai jajaran projek, Dr. Safiee memaklumkan bahawa kawasan Sungai Mawan, Tanjung Keling, Sebinjai, Serban, Nanga Lassa dan Sawai telah menerima bekalan elektrik sejak dua tahun lalu menerusi peruntukan hampir RM21 juta.
“Manakala, projek RES Last Miles di Batang Lassa, Daerah Matu bernilai RM7.7 juta berjaya disiapkan sebelum perayaan Gawai Dayak tahun lalu.”
“Kawasan paling jauh iaitu Nanga Passin, Matu yang merangkumi tujuh buah rumah panjang, sebuah sekolah dan sebuah klinik turut mula menikmati bekalan elektrik stabil sejak 16 Julai lepas menerusi projek bernilai RM6 juta,” jelasnya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Sarawak Energy Berhad (SEB) selaku agensi pelaksana yang memanfaatkan dana Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Dr. Safiee turut menambah bahawa keboleharapan sistem elektrik di Daro kini berada pada tahap terbaik hasil pengoperasian pencawang elektrik 132kV Daro bernilai lebih RM330 juta sejak 2019, sekali gus merancakkan aktiviti sosioekonomi di Daro dan Matu.
Foto: Japen Sarawak






