
KUCHING – Kerja pengorekan dasar Sungai Apong bagi memperbaiki laluan bot nelayan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan selepas tapak projek diserahkan secara rasmi kepada kontraktor pada Selasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut dilaksanakan bagi menangani masalah mendapan serius yang menjejaskan akses sungai, selain melibatkan kerja-kerja pengalihan bangkai kapal di kawasan berkenaan.
Menurutnya, tindakan segera itu diambil susulan permohonan rasmi daripada Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong pada 5 Ogos lalu yang meminta laluan sungai tersebut diperdalam bagi memudahkan kelancaran pergerakan bot nelayan.
“Bagi komuniti nelayan, sungai bukan sekadar laluan air, malah ia merupakan sumber penting kepada kehidupan harian mereka.
“Apabila nelayan menghadapi kesukaran mengakses sungai dengan selamat, kebimbangan mereka perlu diberikan perhatian serius dan ditangani melalui penyelesaian praktikal,” katanya.
Mengulas lanjut, Kim Shin menjelaskan bahawa kerja pengorekan itu melibatkan kawasan sepanjang kira-kira 65 meter dengan kelebaran 10 meter dan kedalaman dua meter, yang membabitkan anggaran 1,300 meter padu bahan korekan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerja berkenaan perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, dengan aspek keselamatan dan kebersihan sungai diberikan tumpuan penuh sepanjang tempoh pelaksanaan.
“Keutamaan kita adalah untuk memastikan nelayan dapat menjalankan aktiviti harian dengan akses ke sungai yang lebih selamat dan mudah.
“Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan memantau kerja pengorekan bersama kontraktor bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan secara teratur dan disiapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh penyerahan tapak,” tambahnya.
Sebagai rekod, aduan mengenai masalah mendapan di sekitar Jeti Perikanan Sungai Apong itu direkodkan ketika tinjauan lokasi oleh Lee pada 19 Ogos lalu.
Susulan itu, LSS telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada Syarikat Alau Jaya pada 9 Oktober.
Dalam pada itu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) pada Isnin (12 Oktober) turut mengesahkan bahawa projek berkenaan tidak tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan dalam Natural Resources and Environment (Prescribed Activities) Order 1994.
Bagaimanapun, kontraktor tetap diwajibkan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan, kebersihan sungai dan alam sekitar yang berkuat kuasa.
Foto: Facebook Lee Kim Shin





