
RANAU – Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah ditahan polis selepas disyaki memiliki syabu seberat 0.19 gram di daerah ini, petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata, suspek ditahan kira-kira 1.30 petang hasil maklumat masyarakat serta risikan berterusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
“Pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu tiub straw berwarna merah yang mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 0.19 gram.
“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah,” kongsinya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut Mursalin, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama dan keprihatinan dalam menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya PDRM IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang demi kesejahteraan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222, dengan identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.
Foto: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau





