
KOTA KINABALU – Wanita PKR Sabah mahu Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, memberi tumpuan lebih khusus kepada keperluan wanita, kebajikan dan pendidikan anak-anak serta pembangunan masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.
Naib Ketua Wanita merangkap Ketua Wanita PKR Sabah, Datin Rufinah Pengeran berkata, peruntukan dalam belanjawan perlu diterjemahkan kepada peluang, bantuan dan kemudahan yang benar-benar dapat dirasai rakyat, bukan sekadar angka di atas kertas.
“Realiti kehidupan rakyat Sabah, khususnya golongan wanita, anak-anak dan masyarakat pedalaman, perlu menjadi antara pertimbangan utama dalam merangka dasar serta pengagihan peruntukan Belanjawan 2027.
“Wanita PKR Sabah berharap Belanjawan 2027 benar-benar mengambil kira realiti kehidupan rakyat Sabah, khususnya wanita, anak-anak dan masyarakat di kawasan pedalaman.
“Golongan wanita, terutama wanita B40, ibu tunggal dan wanita luar bandar, memerlukan sokongan yang lebih menyeluruh bagi memperkukuh kedudukan ekonomi serta keupayaan menjana pendapatan secara berterusan,” kongsinya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Khamis.
Penggerak ekonomi
Menurut Rufinah, peruntukan lebih besar dan khusus perlu disediakan merangkumi modal perniagaan, keusahawanan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta pendigitalan bagi membantu wanita meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Wanita Sabah bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya mereka adalah penggerak ekonomi keluarga dan komuniti.
Kebajikan dan pendidikan Anak-anak
“Dalam pada itu, kebajikan dan pendidikan anak-anak Sabah juga perlu diberikan perhatian sewajarnya, termasuk dengan mengkaji semula kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan makanan pelajar asrama berdasarkan kos sebenar.
“Perkara itu penting dengan mengambil kira kos pengangkutan dan logistik yang lebih tinggi di Sabah, khususnya bagi sekolah serta asrama di kawasan pedalaman,” tegasnya.
Beliau turut berharap supaya bantuan pendidikan, kemudahan asrama, peranti digital, capaian internet dan sokongan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terus diperkukuh bagi memastikan tiada anak Sabah tercicir dalam pendidikan.
“Tiada anak Sabah sepatutnya tercicir hanya kerana kemiskinan, jarak atau lokasi.
“Bagi pembangunan di pedalaman, saya berpendapat kawasan berkenaan memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih khusus, adil dan bersesuaian dengan keadaan setempat.
“Kos seperti penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan di kawasan pedalaman tidak sama dengan kawasan bandar berikutan faktor geografi, jarak serta kos logistik yang lebih tinggi.
“Oleh itu, aspek berkenaan perlu diambil kira dalam perancangan dan pengagihan peruntukan supaya pembangunan di pedalaman dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Tingkat kualiti infrastruktur
Tambahnya, keutamaan perlu terus diberikan kepada peningkatan jalan raya, bekalan air dan elektrik, capaian internet, sekolah, kemudahan kesihatan serta peluang ekonomi bagi memastikan masyarakat pedalaman turut menikmati pembangunan yang lebih seimbang.
“Harapan kami jelas. Sabah mahu terus maju, namun kemajuan itu mesti dirasai bersama. Jangan ada wanita yang tertinggal, jangan ada anak yang tercicir dan jangan ada masyarakat pedalaman yang terpinggir.
“Wanita PKR Sabah, akan terus menyuarakan keperluan rakyat serta membawa suara wanita Sabah ke peringkat dasar, khususnya dalam memastikan Belanjawan 2027 memberi impak yang lebih bermakna kepada rakyat di negeri itu,” tegasnya.


