
KOTA KINABALU – Penyelidikan berkaitan Sabah perlu mempunyai hubungan lebih dekat dengan keperluan masyarakat, industri dan pembangunan negeri bagi memastikan hasil kajian memberi impak praktikal.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai pelbagai isu dan peluang yang boleh dijadikan bidang penyelidikan bersama.
“Dalam konteks Sabah, terdapat banyak isu dan peluang yang boleh dijadikan bidang penyelidikan bersama.
“Antaranya termasuk pembangunan ekonomi luar bandar, transformasi digital, keusahawanan belia, pertanian pintar, pelancongan komuniti, kelestarian alam sekitar, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta peningkatan daya saing ekonomi tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Borneo untuk Perniagaan, Pendidikan, Ekonomi dan Pengurusan (BICBEEM) 2026 di Hotel Raia, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Menurut Hajiji, penyelidik perlu melihat Sabah dan Borneo sebagai “makmal hidup” bagi menghasilkan penyelidikan yang mempunyai nilai akademik dan impak praktikal.
“Kita mahu melihat lebih banyak penyelidikan bersama, pertukaran ilmu dan kepakaran, penglibatan industri, pembangunan inovasi, program keusahawanan serta inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Jaringan yang terbentuk melalui BICBEEM perlu dimanfaatkan untuk menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan kerajaan, industri dan komuniti,” kongsinya.
Tambah Hajiji, jaringan antara kerajaan dan institusi berkenaan dapat memperluas perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman.
“Sabah mempunyai potensi besar menerusi kekayaan sumber semula jadi, kedudukan strategik, kepelbagaian masyarakat dan bakat generasi muda.
“Namun, potensi sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan segala kekuatan yang ada dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi, peningkatan kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengalu-alukan kerjasama strategik antara Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), North Borneo University College (NBUC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) dalam penganjuran BICBEEM 2026.






