
BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa isu kerugian UiTM Holdings diteliti berdasarkan keseluruhan rekod kewangan, keputusan pengurusan dan tempoh pelaburan, bukan semata-mata dengan mengaitkan angka kerugian dengan tempoh seseorang menteri memegang jawatan.
Dalam kenyataan terbaharunya, Maszlee berkata angka RM157 juta yang menjadi perhatian merujuk kepada kerugian sebelum cukai terkumpul bagi empat tahun berasingan, iaitu RM66.14 juta pada 2017, RM43.15 juta pada 2018, RM33.44 juta pada 2019 dan RM14.31 juta pada 2021.

Beliau berkata, tempoh beliau menerajui kementerian bermula Mei 2018 hingga Januari 2020, justeru kerugian RM66.14 juta pada 2017 berlaku sebelum beliau menjadi menteri, manakala kerugian RM14.31 juta pada 2021 berlaku selepas beliau meninggalkan kementerian.
“Jika angka 2018 dan 2019 digabungkan untuk mengatakan bahawa saya menyebabkan RM76.6 juta kerugian, angka itu tidak dengan sendirinya membuktikan siapa yang membuat keputusan yang menyebabkan kerugian tersebut,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.
Beliau turut merujuk dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyatakan UiTM membuat suntikan modal berjumlah RM259.98 juta dari 2007 hingga 2018 bagi tujuan pemilikan saham dalam UiTM Holdings tanpa kelulusan Menteri Kewangan serta tidak selaras dengan Akta Universiti Teknologi MARA 1976.
Menurutnya, PAC turut mendapati perincian perbelanjaan suntikan modal berkenaan tidak dapat dikemukakan untuk semakan audit kerana penyelenggaraan dokumen bagi tahun sebelum 2022 tidak teratur.
Maszlee berkata perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada September 2026 juga perlu diberi perhatian, khususnya berkaitan projek solar 50MW di Gambang, Pahang.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan SPRM, sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar berkenaan dan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah UiTM Holdings.
Dalam perkembangan berasingan, SPRM turut mengumumkan penahanan seorang bekas pegawai pengurusan tertinggi berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam pembayaran perbelanjaan operasi kira-kira RM42 juta kepada beberapa syarikat. Menurut Maszlee, siasatan awal SPRM menyatakan perbuatan yang disyaki itu berlaku pada 2017.
“Apabila saya mengambil alih Kementerian Pendidikan, pendirian saya jelas. Universiti bukan cawangan parti politik dan syarikat milik universiti juga tidak sepatutnya menjadi tempat mengagihkan jawatan kepada orang politik.
“Pada Julai 2018, saya melantik Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM.
“Beliau bukan dibawa kerana kedudukan politik, tetapi kerana pengalaman korporatnya. Kementerian ketika itu secara khusus menyebut pengalaman beliau menerajui Proton dan Perodua serta pengalamannya dalam sektor pendidikan.
“Saya menyatakan ketika mengumumkan pelantikan tersebut bahawa saya percaya kepimpinannya akan memberikan “suntikan baharu” kepada UiTM.
“Prinsipnya mudah. Jika masalahnya korporat, bawalah orang yang tahu mengurus syarikat, bukan operator politik.
“Apa yang berlaku selepas itu direkodkan oleh UiTM Holdings sendiri. Syarikat tersebut menyatakan bahawa Transformation Program dimulakan sejak 2018, melibatkan perubahan Board of Directors dan management team, pengukuhan governance, penyusunan perniagaan daripada lapan sektor kepada empat, penilaian semula model perniagaan serta usaha meletakkan orang yang sesuai pada kedudukan yang sesuai,” ujarnya lagi.

Akui masih ada kelemahan, bagaimanapun, Maszlee menegaskan beliau tidak mendakwa program transformasi berkenaan telah menyelesaikan semua masalah UiTM Holdings.
Maszlee turut menyambut baik gesaan Perdana Menteri pada September 2026 supaya kelemahan pengurusan UiTM Holdings diperiksa sebelum sebarang tindakan diambil.
Menurutnya, siasatan perlu merangkumi keseluruhan sejarah syarikat, termasuk keputusan yang dibuat sebelum, semasa dan selepas tempoh beliau menjadi menteri.
“Jika ada penyelewengan sebelum saya menjadi Menteri, siasat. Jika ada ketika saya menjadi Menteri, siasat. Jika ada selepas saya, siasat juga,” katanya.
Maszlee berkata isu UiTM Holdings tidak bermula pada Mei 2018 kerana terdapat rekod masalah kewangan dan tadbir urus sebelum beliau mengambil alih kementerian.
Beliau menegaskan bahawa beliau tidak mengelak daripada rekod sepanjang tempoh perkhidmatannya, sebaliknya mahu keseluruhan rekod dibaca sebelum kesimpulan dibuat mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat.
“Institusi awam tidak mempunyai parti. Wang universiti tidak mempunyai parti. Undang-undang juga tidak sepatutnya mempunyai parti,” katanya.




