
KUCHING – Sejarah perlu terus dihayati sebagai asas penting dalam pembinaan negara bangsa, khususnya dalam membentuk jati diri, rasa kebersamaan dan identiti nasional rakyat Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, pembinaan negara bangsa bukan sekadar berkongsi wilayah, sebaliknya turut berasaskan sejarah, nilai dan cita-cita yang dikongsi bersama.
Menurutnya, sejarah Malaysia yang terbentuk daripada kepelbagaian identiti dan pengalaman perlu difahami bagi membolehkan rakyat menghargai perbezaan serta mengenal pasti titik persamaan.
“Dalam konteks Malaysia, Sarawak mempunyai sejarah, warisan dan identitinya yang tersendiri, manakala pembentukan Malaysia pula berteraskan persetujuan dan perkongsian melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Inilah yang membentuk konsep ‘unity in diversity’ yang menjadi kekuatan dalam membina identiti nasional yang inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Negarawan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Wisma Melayu Sarawak, pada Khamis.
Katanya, Kementerian Perpaduan Negara akan terus memperluas ruang wacana berkaitan sejarah dan pembinaan negara bangsa, selaras dengan penekanan terhadap integrasi dan perpaduan nasional, patriotisme serta penghayatan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Aaron Ago menegaskan bahawa Arkib Negara Malaysia perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan sejarah bukan sekadar disimpan, tetapi dapat diakses dan difahami oleh masyarakat.
“Sudah tiba masanya Arkib Negara Malaysia melangkah ke era baharu kerelevanan, iaitu daripada sekadar menyimpan sejarah kepada merakyatkan sejarah.
“Arkib yang hidup ialah arkib yang boleh diakses, difahami dan dimiliki bersama oleh rakyat,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut diadakan sempena sambutan Jubli Emas Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak yang genap 50 tahun penubuhannya pada 1 Julai 2026.
Menyentuh mengenai Tun Wan Junaidi, beliau berkata, perjalanan kehidupan tokoh itu yang merangkumi pengalaman dalam pasukan keselamatan, Parlimen, pentadbiran kerajaan dan institusi perundangan merupakan sebahagian daripada sejarah negara yang wajar dihayati generasi akan datang.
Beliau pada masa sama menaruh harapan agar sejarah Sarawak, Sabah dan Semenanjung dapat terus dipelajari oleh generasi muda bagi meningkatkan pemahaman terhadap perjalanan pembentukan negara.
“Sejarah perlu menjadi jambatan yang menghubungkan generasi,” tambahnya.









