SHAH ALAM – Kerajaan meluluskan segera peruntukan RM2.5 juta bagi menaiktaraf sempena penukaran nama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya kepada UiTM Tun Arshad Ayub.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, sebagai langkah menghidupkan semula serta menyemarakkan perjuangan dan agenda universiti terbabit
Menurut beliau, sambutan tersebut bukan sekadar acara untuk mengenang sejarah dan jasa institusi berkenaan, sebaliknya perlu menjadi pencetus kepada usaha menghidupkan semula semangat perjuangan serta seruan yang dibawa UiTM.
“Bukan sekadar melepaskan rindu-rindu, tetapi menghidupkan semula, menyemarakkan semula api perjuangan dan saranan serta seruan.
“Dan sebagai permulaan, sesuai dengan pengumuman ini, saya luluskan segera RM2.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni UiTM bersama Perdana Menteri di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam, pada Sabtu.
Program itu turut menjadi medan untuk alumni kembali menyumbang kepada universiti selain mengetengahkan aspirasi mereka kepada kepimpinan negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan itu dibuat sebagai penghargaan terhadap legasi Allahyarham Arshad, yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam perkembangan Institut Teknologi MARA (ITM) sehingga menjadi UiTM.
Malah, menurut beliau, tokoh itu, terkenal dengan ketegasan dalam soal mutu pendidikan, tatakelola dan peluasan peluang pendidikan kepada anak Bumiputera.
“Walaupun dia (Arshad) dikenali sebagai tokoh pendidik Melayu yang hebat, tapi dia agak keras, tegas, disciplinarian. Kalau dalam mesyuarat, saya ingat bila saya sudah jadi menteri, dia bagi pandangannya dengan serius, dia tidak pandang tak ambil ringan, terutama keghairahan atau obsession dia tentang pendidikan, mutu pendidikan dan peluang pendidikan anak-anak Melayu.
“Anak-anak muda mungkin tidak dapat mengimbas tetapi zaman beralih, ramai yang menjadi jaguh yang menganggap mereka itu champion yang bicara soal perjuangan Melayu dan sebagainya, tak ramai yang kekal dengan sikap dan tatakelola dan tidak menggunakan nama atau agensi Melayu itu untuk memperkayakan diri atau merosakkan agensi.
“Jadi kita harus belajar daripada beliau. Bukan sekadar pendiri, penegak sistem, tapi cara dia mengurus dan bertanggungjawab, dalam menetapkan sistem dan tatakelola yang baik, sebab itu ITM Jalan Othman meningkat, kerana pengurusan cekap dan menghindari salah laku yang boleh merobohkan institusi itu,” katanya.


