Kelemahan pengurusan, kerugian UiTM Holdings perlu disemak secara teliti

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalankan semakan terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings susulan kebimbangan berhubung kerugian dialami syarikat itu.

Beliau menegaskan, kerajaan ketika ini masih dalam proses meneliti pengurusan dan kelemahan yang berlaku dalam isu UiTM Holdings sebelum sebarang tindakan diambil

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, semakan itu perlu dijalankan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dan Jabatan Perdana Menteri, yang akan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.

“Ini juga ada kata kita kaji sekarang UiTM Holdings ini. Bukan kita beri hukuman sekarang. Kaji dulu. Apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, itu pengelolaannya,

“Teliti UiTM Holdings dan cari jalan untuk bekerjasama dengan Naib Canselor. Jabatan Perdana Menteri dan pejabat saya akan beri kerjasama dan pandangan mengenai perkara ini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan pelajar yang mahu kerajaan dan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia menyemak pengurusan UiTM Holdings, yang didakwa mencatatkan kerugian lebih RM100 juta.

Isu itu dibangkitkan ketika sesi soal jawab pada Himpunan Mesra Alumni UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerugian kewangan semata-mata tidak seharusnya dianggap sebagai bukti berlaku salah laku kerana syarikat boleh mengalami tempoh keuntungan dan kerugian.

“Kita tidak mengambil tindakan hanya kerana sesebuah syarikat mengalami kerugian. Kita mengambil tindakan jika berlaku penipuan, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, sebarang salah laku dikenal pasti menerusi semakan itu perlu ditangani sewajarnya.

Menurut beliau, tadbir urus amat penting bagi agensi Bumiputera, yang menurutnya perlu menjadi contoh dari segi pengurusan yang baik dan integriti.

“Saya lebih tegas terhadap agensi Bumiputera kerana mereka sepatutnya menjadi contoh,” katanya.

Pada 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menjalankan siasatan terhadap UiTM Holdings berhubung dakwaan membabitkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

SPRM kemudian memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan forensik terhadap akaun syarikat berkenaan bagi menentukan bagaimana kerugian yang dilaporkan itu berlaku.

Ketika itu, UiTM Holdings dilaporkan merekodkan kerugian terkumpul sebelum cukai RM157.04 juta dalam tempoh empat tahun iaitu 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Kementerian Pendidikan Tinggi berkata angka itu berdasarkan jumlah kerugian terkumpul yang dilaporkan bagi tahun berkenaan dan mengalu-alukan siasatan terhadap perkara itu.

Menurut laporan terdahulu, sebahagian besar kerugian dikaitkan dengan pelaburan dalam penerbitan filem tempatan, manakala kerugian turut dikaitkan dengan pegangan UiTM Holdings dalam Intekma Resort and Convention Centre di Seksyen 7, Shah Alam, yang menghentikan operasinya.

Related Posts

Pemerkasaan pembangunan Bumiputera tidak pernah dipinggirkan Kerajaan MADANI

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan agenda Bumiputera, malah dijadikan keutamaan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara. Beliau yang juga…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PAUiTM diamanah nilai prestasi agensi Bumiputera, perkasa keupayaan universiti

SHAH ALAM – Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA Malaysia (PAUiTM) ditugaskan menjadi penilai terhadap prestasi agensi utama Bumiputera termasuk universiti itu sendiri dan mengemukakan cadangan bagi memperkukuh keupayaan institusi berkenaan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kelemahan pengurusan, kerugian UiTM Holdings perlu disemak secara teliti

Kelemahan pengurusan, kerugian UiTM Holdings perlu disemak secara teliti

Pemerkasaan pembangunan Bumiputera tidak pernah dipinggirkan Kerajaan MADANI

Pemerkasaan pembangunan Bumiputera tidak pernah dipinggirkan Kerajaan MADANI

PAUiTM diamanah nilai prestasi agensi Bumiputera, perkasa keupayaan universiti

PAUiTM diamanah nilai prestasi agensi Bumiputera, perkasa keupayaan universiti

Betong bakal miliki Pusat Konvensyen Mini

Betong bakal miliki Pusat Konvensyen Mini

Hannah gesa laluan standard acara larian kurangkan gangguan trafik KL

Hannah gesa laluan standard acara larian kurangkan gangguan trafik KL

Literasi Pertahanan Nasional perkukuh kesedaran masyarakat terhadap pertahanan negara

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Literasi Pertahanan Nasional perkukuh kesedaran masyarakat terhadap pertahanan negara